'Pemotong Jari', 'Escobar Brazil' jadi tumpuan perbicaraan di Belgium, disyaki seludup 45 tan kokain

'Pemotong Jari',  'Escobar Brazil' jadi tumpuan perbicaraan di Belgium, disyaki seludup 45 tan kokain

Brussels: Dua lelaki yang digelar ‘Pemotong Jari’ dan ‘Escobar Brazil’ menjadi tumpuan perbicaraan kes penyeludupan kokain antarabangsa di Belgium selepas didakwa mengetuai organisasi jenayah yang disyaki menyeludup sehingga 45 tan dadah itu ke Eropah.

Memetik laporan The Guardian, Flor Bressers, 40, warga Belgium yang memiliki ijazah kriminologi dari Free University of Brussels (VUB) dikenali dengan gelaran the Finger Cutter, manakala rakan sekutunya, Sérgio Roberto de Carvalho, 68, warga Brazil, digelar the Brazilian Escobar.

Kedua-duanya didakwa mengetuai operasi penyeludupan kokain dari Peru dan Bolivia melalui Brazil sebelum dadah itu dihantar merentasi Lautan Atlantik untuk diedarkan di Eropah dan wilayah lain.

Pendakwa raya turut mendakwa rangkaian berkenaan memindahkan ratusan juta dolar menerusi syarikat yang digunakan sebagai topeng perniagaan.

Bressers ditangkap pada 2022 ketika menghadiri sesi merasa wain bersama isterinya di sebuah hotel mewah di Zurich, Switzerland.

Dia sebelum itu tersenarai dalam senarai individu paling dikehendaki Europol sejak 2021 berhubung pelbagai pertuduhan termasuk menculik, mengurung mangsa secara haram dan pemerasan menggunakan senjata api.

Gelaran the Finger Cutter dikaitkan dengan kes balas dendam pada 2010 apabila dia dituduh mengarahkan tindakan memotong jari seorang mangsa menggunakan gunting pemangkas pokok.

Bressers dibebaskan pada 2015 kerana kekurangan bukti, namun pada 2020 disabitkan dalam kes penculikan dan serangan terhadap seorang pengedar dadah Belanda sebelum menjadi buruan selama dua tahun.

Carvalho pula ditangkap di sebuah hotel mewah di Budapest, Hungary, pada 21 Jun 2022 dalam operasi bersama Interpol, Europol, polis persekutuan Brazil dan Agensi Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (DEA).

Dia pernah berkhidmat sebagai pegawai polis tentera Brazil sebelum dijatuhi hukuman penjara 15 tahun atas kesalahan menyeludup dadah pada 1998.

Selepas berpindah ke Eropah, Carvalho didakwa menggunakan identiti palsu untuk menyembunyikan kegiatan jenayahnya termasuk menetap di Sepanyol dengan menyamar sebagai seorang warga Surinam. Dia turut dikaitkan dengan rangkaian penyeludupan dadah yang menggunakan pelabuhan di Portugal, Sepanyol, Belanda dan Belgium sebagai laluan penghantaran.

Dalam operasi besar-besaran pada November 2020, lebih 1,000 anggota polis dari beberapa negara Eropah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Europol menyertai serbuan yang membawa kepada penahanan 45 individu.

Operasi itu turut menyaksikan rampasan wang tunai lebih 13 juta euro (kira-kira RM59.6 juta) selain 70 kereta mewah, 37 pesawat dan 136 hartanah.

Di mahkamah, Bressers menafikan pertuduhan terhadapnya dan mendakwa menjadi mangsa fitnah media manakala Carvalho turut mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Jika sabit kesalahan, Bressers berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun manakala Carvalho boleh dipenjara sehingga 15 tahun.

Perbicaraan di Mahkamah Justitia, Brussels, selesai pada 9 Oktober lalu dengan keputusan dijadualkan diumumkan pada 15 Disember depan.

Kes itu turut menyorot perkembangan rangkaian penyeludupan dadah dari Amerika Latin yang semakin bertapak di Eropah.

Ketua Pusat Jenayah Terancang Europol, Andy Kraag berkata, rangkaian berkenaan melebarkan pengaruh di Eropah menerusi ejen atau anggota kartel yang menawarkan kepakaran termasuk mengekstrak dan memproses kokain.

Pakar sains sosial dari Paris, Gabriel Feltran, pula menjelaskan kumpulan seperti Primeiro Comando da Capital (PCC) dan Kartel Sinaloa bekerjasama dengan organisasi jenayah Eropah menerusi usaha sama bagi mendapatkan dadah terus daripada pengeluar dan mengedarkannya kepada pengguna.

Feltran menyifatkan perkembangan itu sebagai platformisation jenayah terancang iaitu model kerjasama yang membolehkan kumpulan berbeza mengendalikan pelbagai peringkat rantaian bekalan, seakan-akan platform digital gergasi.

Kes Bressers-Carvalho mencerminkan bagaimana rangkaian jenayah antarabangsa didakwa menggabungkan penyeludupan kokain, penggunaan syarikat sebagai topeng perniagaan dan pencucian wang melalui mata wang kripto dan aset lain bagi meluaskan operasi mereka di Eropah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top