syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : “Memang anak ada bagi duit, tapi mereka pun ada komitmen dan anak-anak sendiri. Mak Wan tak nak susahkan mereka,”.
Demikian luahan pelakon veteran, Halimatussa’diah Mohd Daud atau lebih mesra disapa Mak Wan Latah, 65, yang memilih untuk terus berdikari dan mencari rezeki sendiri berbanding bergantung sepenuhnya kepada empat orang anaknya.
Menurut Mak Wan, kesemua anaknya kini sudah berkeluarga serta mempunyai tanggungan masing-masing, sekali gus membuatkannya segan untuk terus meminta-minta bantuan kewangan daripada mereka.
“Anak Mak Wan ada empat orang, dua lelaki dan dua perempuan. Alhamdulillah, kesemuanya sudah berkeluarga. Sebab itulah Mak Wan tak nak ganggu atau menyusahkan mereka sangat.
“Mak Wan tak kata anak-anak tak beri duit, mereka ada beri. Tapi mereka beri sekadar apa yang mampu dan ada pada mereka sahaja. Masing-masing ada komitmen dan anak sendiri untuk ditanggung,” katanya kepada Harian Metro.
Sebagai ibu, dia memahami situasi kehidupan anak-anaknya pada masa kini dan merasakan menjadi tanggungjawab dirinya untuk berusaha selagi diberi kurniaan kesihatan.
“Yang penting, kita kena usaha cari rezeki sendiri selagi terdaya. Mak Wan tak mahu duduk diam dan cuma harapkan bantuan orang atau anak-anak semata-mata.
“Bukan tak mahu terima bantuan, tapi Mak Wan lebih puas kalau dapat cari duit daripada titik peluh sendiri melalui lakonan. Walaupun dapat watak ‘extra’ (sampingan) atau bayaran kecil, Mak Wan tetap bersyukur dan terima,” katanya.
Katanya lagi, pendapatan daripada hasil lakonan itu penting bagi menampung kos sara hidup harian serta perbelanjaan ubat-ubatan dan suplemen bulanan yang dianggarkan melebihi RM200 bagi penyakit kencing manis, darah tinggi, kolesterol dan buah pinggang yang dihidapinya.
“Mak Wan tinggal seorang. Duit yang dapat itu cukuplah untuk Mak Wan bayar tambang e-hailing pergi hospital, beli ubat dan makan harian. Mak Wan bukannya makan banyak pun sekarang, kadang-kadang makan bubur sahaja.
“Sebab itu Mak Wan merayu kepada pihak produksi, berilah Mak Wan peluang berlakon semula. Mak Wan nak kerja, bukan nak meminta-minta,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




