KUALA LUMPUR: Kerajaan melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze bagi urusan rasmi dan golongan tertentu kerana pengumpulan data pergerakan pengguna dikaitkan dengan aspek keselamatan serta tertakluk kepada bidang kuasa undang-undang Israel.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, persetujuan pengguna terhadap syarat perkhidmatan aplikasi itu menimbulkan persoalan dari sudut perlindungan undang-undang sekiranya berlaku sebarang masalah membabitkan data mereka.
Menurutnya, rakyat Malaysia berdepan ketidakpastian untuk mendapatkan pembelaan melalui sistem perundangan Israel sekiranya timbul pertikaian berkaitan penggunaan aplikasi berkenaan.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Larangan ini berdasarkan kepada dua aspek melibatkan data. Walaupun tidak menggunakan Waze, pergerakan kita masih dapat ditentukan melalui aplikasi ini.
“Jika melihat kepada dokumen perjanjian sebelum mengaktifkan aplikasi, kita bersetuju dengan syarat-syarat tertentu, iaitu di bawah bidang kuasa undang-undang Israel dan itu menjadi satu masalah kepada kita,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang meminta penjelasan mengenai pendirian kerajaan terhadap penggunaan Waze atas kebimbangan keselamatan negara dan rakyat, selain tahap kesediaan aplikasi navigasi tempatan, Tuju, untuk menggantikan aplikasi itu.
Gobind berkata, kebimbangan kerajaan turut melibatkan pengumpulan dan penyelarasan data yang dikaitkan dengan Israel, sekali gus menjadikan aspek keselamatan serta perlindungan perundangan antara pertimbangan utama dalam keputusan berkenaan.
“Kalau berlaku satu masalah, kita sebagai rakyat Malaysia sudah tidak tentu untuk mendapat pembelaan melalui proses perundangan di negara Israel.
“Itu sebab kita ada larangan disebutkan untuk aplikasi tersebut, iaitu Waze, kerana khusus merujuk kepada aspek perundangan dan juga keselamatan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan larangan berkenaan tidak meliputi semua aplikasi navigasi kerana pengguna masih boleh menggunakan alternatif lain, termasuk Tuju dan Google Maps.
Katanya, keputusan itu juga tidak terpakai secara menyeluruh kepada semua pengguna, sebaliknya melibatkan golongan yang dinyatakan kerajaan serta penggunaan bagi urusan rasmi, seperti yang dijelaskan dalam kenyataan Perdana Menteri.
“Keputusan diberikan untuk menggunakan aplikasi yang lain dan sebagainya. Yang dinyatakan adalah disebabkan kita mempunyai masalah keselamatan dari aspek data,” katanya.
Sehubungan itu, pengguna yang terlibat perlu beralih kepada aplikasi navigasi alternatif bagi urusan rasmi, manakala penggunaan aplikasi lain masih dibenarkan tertakluk kepada ketetapan kerajaan. – UTUSAN




