TuJu memalukan negara, individu beri nasihat kepada PM perlu kena tindakan – Guan Eng

TuJu memalukan negara, individu beri nasihat kepada PM perlu kena tindakan – Guan Eng

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menyifatkan pelancaran aplikasi navigasi tempatan TuJu sebagai sesuatu yang memalukan negara, susulan maklum balas pengguna yang mendakwa aplikasi itu masih mempunyai pelbagai kelemahan.

Beliau berkata, usaha kerajaan membangunkan alternatif kepada Waze bagi melindungi keselamatan negara wajar disokong, namun aplikasi berkenaan perlu melalui penilaian dan ujian ketat sebelum diperkenalkan kepada pengguna.

“Walaupun ramai menyokong usaha kerajaan untuk melindungi kepentingan keselamatan negara, penilaian sewajarnya dan ujian yang ketat perlu dijalankan bagi memastikan aplikasi pengganti, TuJu benar-benar mampu menandingi serta menggantikan fungsi asas navigasi jalan raya yang ditawarkan oleh Waze.
“Maklum balas pengguna setakat ini menunjukkan bahawa penggunaan aplikasi TUJU hanya akan menyusahkan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Guan Eng berkata, beliau turut menerima aduan mengenai ketidakberkesanan aplikasi itu dan berpandangan kerajaan tidak sepatutnya mewajibkan penggunaannya sebagai pengganti Waze.

Foto arkib: Bernama

Menurutnya, rakyat menyokong usaha menggantikan Waze berikutan kebimbangan terhadap keselamatan maklumat dan data pergerakan pengguna, namun alternatif yang diperkenalkan perlu berfungsi dengan baik.

“Rakyat Malaysia menyokong penggantian aplikasi Waze kerana risiko keselamatan yang berkaitan dengan maklumat dan data pergerakan rakyat, memandangkan aplikasi itu tertakluk kepada undang-undang kerajaan Israel.
“Namun, mereka tidak menyokong penggantiannya dengan aplikasi yang dalam keadaan terbaik sekalipun masih mempunyai kecacatan, manakala dalam keadaan terburuk pula gagal berfungsi,” ujarnya.

Sehubungan itu, Gun Eng mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima nasihat yang salah berhubung keupayaan teknologi TuJu untuk menggantikan Waze.

Beliau turut menggesa kerajaan menjelaskan kos pembangunan aplikasi berkenaan kepada rakyat serta mengambil tindakan terhadap individu yang didakwa meyakinkan Perdana Menteri bahawa TuJu mempunyai keupayaan teknologi mencukupi.

“Datuk Seri Anwar juga harus menjelaskan kepada rakyat berapakah kos yang ditanggung oleh kerajaan untuk membangunkan TUJU?
“Individu yang bertanggungjawab meyakinkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa TUJU mempunyai keupayaan teknologi yang mencukupi untuk menggantikan Waze harus dipersalahkan dan dikenakan tindakan,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng mempersoalkan sama ada pihak yang membangunkan TuJu mendapatkan pandangan pakar profesional dari negara seperti Amerika Syarikat, Eropah, China atau Jepun.

Beliau turut mencadangkan supaya perancangan pembangunan aplikasi itu dinilai semula dari peringkat awal bagi memastikan kelemahan sedia ada dapat diperbaiki.

“Perdana Menteri harus menilai semula perancangan dari awal dengan meminta Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) membangunkan versi TUJU yang jauh lebih baik dan mampu berfungsi sebagai pengganti Waze yang berkesan,” jelasnya.

Guan Eng turut mempersoalkan keupayaan JKSN dalam melaksanakan tanggungjawab berkaitan keselamatan siber dan kedaulatan digital negara sekiranya keperluan asas pengguna untuk navigasi jalan raya masih tidak dapat dipenuhi.

“Bagaimanakah JKSN boleh diharapkan untuk menjalankan tanggungjawabnya dalam menangani ancaman siber yang sentiasa berkembang, memperkukuh kesiapsiagaan negara dan kedaulatan digital, sedangkan keperluan asas pengguna untuk navigasi jalan raya pun tidak dapat dipenuhi?,” ujarnya lagi.

Sumber: Facebook Lim Guan Eng

Scroll to Top