Tiada cadangan perkenal nombor plat khas ikut nama – Anthony Loke

Tiada cadangan perkenal nombor plat khas ikut nama – Anthony Loke

SEREMBAN – Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan nombor pendaftaran kenderaan yang ditempah khas (vanity plate) seperti di sesetengah negara, meskipun ia berpotensi menjana pendapatan lebih tinggi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu pernah dibincangkan sebelum ini, namun kerajaan memutuskan untuk mengekalkan sistem pendaftaran kenderaan sedia ada.

Menurutnya, sistem yang menggunakan kombinasi huruf dan nombor itu telah diamalkan di negara ini sejak puluhan tahun lalu.

“Ia pernah dibincangkan tetapi kita tidak bercadang untuk mengeluarkan nombor plat mengikut nama kerana kita sudah mempunyai sistem sendiri.

“Jadi, kita akan teruskan dengan sistem kita menggunakan kombinasi huruf dan nombor. Ini memang sistem pendaftaran kenderaan kita sejak berpuluh-puluh tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah di daerah ini pada Khamis.

Selain itu, Anthony turut memaklumkan bahawa kementerian akan terus mengeluarkan dua atau tiga siri nombor pendaftaran edisi khas setiap tahun, dengan hasil yang diperoleh dapat digunakan untuk membantu rakyat.

Sebagai contoh, beliau berkata, siri nombor pendaftaran kenderaan khas ‘H’ yang dilancarkan pada bulan September telah menjana pendapatan sebanyak RM91.2 juta untuk kerajaan.

“Seramai 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara menerima bantuan khas kewangan berjumlah RM1,000 seorang yang mana ia adalah menggunakan hasil yang diperoleh daripada jualan nombor pendaftaran kenderaan khas siri ‘H’ terbabit.

“Saya tahu nilai RM1,000 ini mungkin tidak dapat menyelesaikan semua masalah atau menampung kos penyelenggaraan kenderaan sepenuhnya, tapi saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mereka,”katanya.

Scroll to Top