PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim berpendapat usia bukanlah penghalang untuk seseorang terus mengejar apa yang diimpikan dalam kehidupan.
Menurut Sarimah, setiap individu mempunyai perjalanan hidup tersendiri dan tidak seharusnya menganggap diri sudah terlambat untuk mencapai kejayaan hanya kerana faktor usia.
“Kadang-kadang kita rasa seolah-olah sudah terlambat dalam hidup. Terlambat untuk memulakan semula, mencuba perkara baharu, mengejar impian dan menjadi versi diri yang pernah kita impikan.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Tetapi, siapa sebenarnya yang menetapkan pada usia berapa kita perlu berjaya? Pada usia berapa pula kita perlu berhenti mencuba?” katanya menerusi perkongsian di Threads.
Dalam masa sama, Sarimah turut mengingatkan bahawa setiap cabaran dan kesukaran yang dilalui seseorang mungkin merupakan sebahagian daripada proses mempersiapkan diri untuk mencapai sesuatu yang lebih baik.
“Mungkin sebenarnya kita tidak ketinggalan seperti yang disangka. Mungkin selama bertahun-tahun kita merasakan diri sedang bergelut dengan pelbagai cabaran, sedangkan sebenarnya semua itu sedang mempersiapkan kita.
“Dan mungkin juga, babak terbaik dalam kehidupan kita masih belum berlaku,” jelasnya.
Sarimah bagaimanapun menasihatkan orang ramai agar belajar mengubah persepsi tentang kehidupan yang sememangnya sudah tersusun rapi oleh Sang Pencipta.
“Jadi, jangan terlalu awal menganggap diri sudah tidak berpeluang untuk berjaya. Siapa tahu, kejutan terbesar dalam perjalanan hidup anda sebenarnya baru sahaja bermula,” ujarnya.




