PGA rekod 11 kes kawat duri sempadan dipotong di Kelantan

PGA rekod 11 kes kawat duri sempadan dipotong di Kelantan

news@nst.com.my

Rantau Panjang: Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan 11 kes kawat duri dipotong di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan antara 27 Mac hingga 12 Oktober tahun ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PGA Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata tindakan penguatkuasaan diambil oleh PGA dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan.

Beliau berkata, kejadian itu dipercayai melibatkan perbuatan sengaja yang bertujuan mewujudkan laluan keluar masuk menerusi pagar sempadan bagi memudah cara aktiviti penyeludupan.

“Saya percaya pihak yang bertanggungjawab telah dikenal pasti berdasarkan maklumat yang dikumpul.

“Bagaimanapun, dari segi kawalan keselamatan, sesiapa sahaja yang dikesan melakukan kesalahan akan ditangkap dan tindakan undang-undang selanjutnya akan diambil,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke sempadan di sini, hari ini.

Turut mengiringi beliau ialah Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain.

Mohamad Suzrin berkata, PGA akan terus mengemas kini maklumat perisikan lapangan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kontinjen polis berkaitan berhubung pencerobohan sempadan yang melibatkan pemotongan kawat duri.

Beliau berkata, anggota yang bertugas akan terus mengambil inisiatif membaiki bahagian kawat yang dipotong bagi memulihkan kawalan keselamatan secepat mungkin.

“Maklumat berhubung pencerobohan sempadan juga akan disalurkan kepada pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan situasi di sepanjang sempadan sentiasa dipantau,” katanya.

Difahamkan anggaran panjang kawat duri yang rosak di setiap lokasi adalah antara dua hingga lima meter.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top