Sunway Medical Centre Putrajaya dijangka siap 2031, sedia 325 katil

Sunway Medical Centre Putrajaya dijangka siap 2031, sedia 325 katil

hazwanfaisal@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Sunway Healthcare Holdings Bhd (SHH) dan Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) memeterai perjanjian usaha sama strategik bagi membangunkan sebuah hospital swasta pelbagai kepakaran berkapasiti 325 katil di Presint 7, Putrajaya.

Menerusi kerjasama itu, SHH akan memegang kepentingan sebanyak 60 peratus dalam usaha sama berkenaan, manakala baki 40 peratus dimiliki PjH.

Hospital yang akan dikenali sebagai Sunway Medical Centre Putrajaya itu disasarkan memulakan pembinaan pada suku keempat 2027 dan dijangka siap menjelang 2031, tertakluk kepada kelulusan berkaitan serta jadual pelaksanaan projek.

Presiden Sunway Healthcare Group (SHG), Datuk Lau Beng Long, berkata kerjasama berkenaan menjadi pencapaian penting dalam strategi pengembangan kumpulan, khususnya bagi memperkukuh kehadirannya di Putrajaya.

Beliau berkata, kerjasama dengan PjH selaku pemaju induk Putrajaya mencerminkan pendekatan pengembangan kumpulan yang berdisiplin melalui perkongsian strategik.

“Ini adalah pencapaian penting bagi Sunway Healthcare Group dan projek hospital usaha sama pertama kami sejak penyenaraian.

“Ia mencerminkan pendekatan pengembangan kami yang berdisiplin menerusi kerjasama dengan Putrajaya Holdings untuk mewujudkan kehadiran kami di pusat pentadbiran negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Perjanjian Usaha Sama dan Pemegang Saham itu dimeterai menerusi anak syarikat milik penuh masing-masing, Sunway Healthcare Ventures Sdn Bhd (SHV) dan Tapak Senja Sdn Bhd (TSSB), susulan pemeteraian Perjanjian Prinsip pada 23 April 2025.

Pemeteraian itu menandakan projek hospital usaha sama pertama SHH sejak penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Mac 2026, sekali gus membawa projek berkenaan daripada peringkat perancangan kepada fasa pelaksanaan seterusnya.

Hospital tertiari itu akan dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas kira-kira 2.5 ekar, bersebelahan Putrajaya Sentral, dalam kawasan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

Lokasi berkenaan mempunyai akses kepada perkhidmatan Express Rail Link (ERL) dan Transit Aliran Massa (MRT), selain rangkaian jalan raya serta kedudukan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sunway Medical Centre Putrajaya dirancang menawarkan perkhidmatan perubatan lanjutan dan rawatan pakar merangkumi pelbagai bidang kepakaran serta subkepakaran, termasuk unit rawatan khusus bagi pesakit melecur.

Kemudahan itu dijangka memenuhi keperluan penduduk Putrajaya, kawasan selatan Lembah Klang serta pesakit antarabangsa, di samping melengkapi perkhidmatan kesihatan sedia ada di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu.

Mengulas lanjut Beng Long berkata, SHG mempunyai pengalaman operasi selama 27 tahun, dengan rangkaian lima hospital yang menawarkan hampir 2,000 katil berlesen, kira-kira 80 bidang kepakaran dan subkepakaran serta 28 Pusat Kecemerlangan.

Katanya, pengalaman itu akan dimanfaatkan bagi membangunkan kemudahan kesihatan yang mampu memenuhi keperluan perubatan masa depan, selain memperluas akses kepada rawatan berkualiti.

Menerusi kerjasama berkenaan, SHG akan menerajui perancangan klinikal dan operasi hospital, mendapatkan lesen serta kelulusan berkaitan, selain menyewa dan mengendalikan kemudahan itu selepas siap.

PjH pula akan menyumbang tanah projek serta menyediakan kepakaran dalam pembangunan hartanah dan infrastruktur bagi menyokong pembinaan serta penyepaduan hospital dengan pembangunan bandar Putrajaya.

Pembangunan Sunway Medical Centre Putrajaya juga adalah sebahagian daripada strategi peluasan rangkaian SHG, yang turut merancang pembangunan hospital tertiari di Iskandar Puteri, Johor dan Seremban, Negeri Sembilan.

Menerusi pelan pengembangan itu, SHG menyasarkan jumlah kapasiti melebihi 3,400 katil dalam keseluruhan rangkaian hospitalnya menjelang 2032.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top