mukhriz.husin@bh.com
Kuala Lumpur: Keputusan Mahkamah Tinggi menggantung notis pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) menguatkan tekad gabungan berkenaan untuk memperkukuh kekuatan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Presiden WAWASAN Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan itu turut memberi harapan baharu kepada PN untuk menghadapi sistem demokrasi negara secara sihat dan adil.
“Kuasa bukanlah lesen untuk bertindak secara sesuka hati, manakala undang-undang juga bukan alat untuk menekan pihak yang berbeza pandangan.
“Insya-Allah, keputusan positif yang dicapai hari ini menguatkan lagi tekad PN untuk memperkukuhkan kekuatan, bagi menawarkan polisi serta khidmat terbaik kepada rakyat dan menterjemahkannya melalui sokongan rakyat dalam PRN Melaka nanti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azizan Md Arshad membenarkan permohonan PN untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu penyelesaian permohonan semakan kehakimannya, selepas mendapati terdapat keadaan luar biasa yang mewajarkan pemberian relif interim.
Hakim memutuskan bahawa keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) membatalkan pendaftaran PN pada 20 Oktober lalu tidak secara automatik menjadikan permohonan penangguhan itu tidak lagi relevan.
Hamzah berkata, keputusan itu selaras dengan prinsip undang-undang bahawa setiap kuasa perlu tertakluk kepada batasan undang-undang bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.
“WAWASAN menzahirkan kesyukuran dan menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang menggantung notis RoS berhubung pembatalan PN, sekali gus membolehkan lambang PN digunakan dalam PRN Melaka nanti.
“Keputusan Mahkamah Tinggi hari ini bertepatan dengan penghakiman Almarhum Sultan Azlan Shah dalam kes Pengarah Tanah dan Galian, Wilayah Persekutuan v Sri Lempah Enterprise Sdn Bhd (1979) bahawa ‘setiap kuasa mesti mempunyai batasan undang-undang, jika tidak, ia akan membawa kepada pemerintahan diktator’,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




