Tambang ECRL berpatutan, mampu dibayar golongan B40 – Wan Rosdy

Tambang ECRL berpatutan, mampu dibayar golongan B40 – Wan Rosdy

am@hmetro.com.my

Kuantan: Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak menganggap tambang perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membebankan pengguna.

Beliau berkata, sebelum tambang ditetapkan, kajian secara menyeluruh sudah dilakukan sebelum ia diumumkan.

“Kita berasakan ia (tambang) berpatutan dan mampu termasuk golongan B40, malah harganya tidak jauh (beza) dengan perkhidmatan bas manakala kapal terbang lebih tinggi.

“Saya dapati dalam media sosial tidak ada komen negatif berhubung tambang ini (harga tiket), malah ramai menyambut baik dan sikit-sikit itu biasalah,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Apresiasi Sempena Tamat Kursus Pelatih Program Latihan Kemahiran Industri East Coast Rail Link (PLKI-ECRL) Sesi 2025/2026 Akademi Rel Pahang, UCYP University di Kompleks Yayasan Pahang di sini, hari ini.

Pada 19 Oktober lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak mengumumkan tambang kelas ekonomi bagi perkhidmatan ECRL dari Gombak ke Kota Bharu sejauh 523 kilometer dilaporkan bermula serendah RM125 sehala, manakala perkhidmatan ekspres bagi laluan sama bermula RM147.

Bagi perjalanan Gombak-Kuala Terengganu sejauh 378 kilometer, tambang transit bermula RM95 sehala dan perkhidmatan ekspres bermula RM110, manakala perjalanan Gombak-KotaSAS sejauh 209 kilometer, tambang bermula RM60 bagi transit dan RM68 untuk ekspres.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri menyampaikan hasrat kepada Malaysia Rail Link (MRL) supaya anak Pahang diberikan keutamaan dalam peluang pekerjaan berkaitan ECRL, khususnya di tujuh stesen yang terdapat di negeri ini.

“Kita juga mahu penduduk setempat menikmati peluang perniagaan dan kegiatan ekonomi di sekitar stesen, termasuk dalam sektor perkhidmatan dan logistik.

“Kita tidak mahu anak Pahang hanya menjadi pemerhati kepada pembangunan yang berlaku.

“Kita mahu mereka turut menjadi tenaga kerja dan penggerak kepada kemajuan negeri sendiri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top