BN, PAS sepentas umum calon PRN Melaka, Zahid sahkan agihan 21-7

BN, PAS sepentas umum calon PRN Melaka, Zahid sahkan agihan 21-7

Barisan Nasional (BN) dan PAS akan mengumumkan calon masing-masing bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu ini dalam majlis yang berlangsung di pentas serta dewan yang sama di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Foto: malaysiakini

Memetik laporan Sinar Harian, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengumuman itu membabitkan 21 kerusi yang akan ditandingi BN, manakala tujuh lagi diperuntukkan kepada PAS bersama rakan strategiknya.

“Insya-ALLAH di pentas sama dan di dewan yang sama kita akan umumkan 21 kerusi ditandingi BN, mereka (Pas dan rakan strategik) akan umumkan tujuh kerusi,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk BN bagi Pilihan Raya Umum Negeri Melaka Ke-16 di MITC pada Khamis.

Pada Rabu, BN mengesahkan kerjasama dengan PAS untuk menghadapi pilihan raya negeri itu selepas rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua pihak dimuktamadkan.

Persetujuan tersebut menyaksikan BN bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sementara PAS bersama rakan gabungannya bertanding di tujuh kerusi.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid turut mengesahkan pelantikan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Pengarah Pilihan Raya BN Melaka, menggantikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Foto: malaysiakini

Menurutnya, Mohamad yang juga dikenali sebagai Tok Mat mempunyai tanggungjawab rasmi di luar negara sepanjang tempoh kempen.

“Tok Mat mempunyai komitmen rasmi di luar negara sepanjang tempoh kempen PRN Melaka, termasuk menghadiri mesyuarat negara-negara Komanwel, mesyuarat serantau dan Sidang Kemuncak ASEAN.
“Jadi, saya mengesahkan tadi, surat sudah diperakukan dan tidak ada orang lain, beliau (Ab Rauf),” katanya.

Mengenai persiapan BN, Ahmad Zahid memaklumkan perbincangan bersama parti komponen sudah selesai. Bagaimanapun, pelarasan tertentu akan dibuat dengan mengambil kira kesesuaian kawasan serta peluang kemenangan calon.

Beliau berkata, urusan bersama rakan strategik politik pula menunggu hasil mesyuarat mereka pada malam Khamis sebelum dimuktamadkan sepenuhnya.

“Segala-galanya telah dimuktamadkan mengikut jumlah kerusi yang kita bersetuju bersama,” tambahnya lagi.

Sumber: Sinar Harian (Norafiza Jaafar)

Scroll to Top