Sirah Nabi panduan hadapi cabaran moden

Sirah Nabi panduan hadapi cabaran moden

SIRAH dan keperibadian yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW sepatutnya dijadikan panduan hidup umat Islam dalam mendepani pelbagai caraban semasa termasuk perkembangan kecerdasan buatan (AI), Islamofobia dan arus globalisasi yang semakin kompleks.

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer menjelaskan, penghayatan terhadap akhlak serta kepimpinan Baginda SAW penting bagi memastikan umat Islam terus berpegang pada nilai integriti, kejujuran dan perpaduan dalam kehidupan seharian.

Menurutnya, penganjuran Persidangan Mawlid 6.0 merupakan usaha terpuji dalam menghimpunkan ulama, pemikir dan masyarakat umum bagi memperkukuh kefahaman terhadap sirah serta peribadi junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan aktif Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India Muslim yang lain dalam menggerakkan usaha dakwah serta pembangunan masyarakat.

SYED KAMARULZAMAN

SYED KAMARULZAMAN

“MAIWP sentiasa komited dan menyokong penuh usaha dakwah, pendidikan serta program kemasyarakatan yang digerakkan Permim di Wilayah Persekutuan termasuk Putrajaya dan Labuan.

“Kerjasama erat antara MAIWP dengan NGO Islam seperti Permim merupakan kunci utama dalam memperkasakan syiar Islam, memperkukuh perpaduan umat serta memastikan kebajikan masyarakat Islam terus terbela tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum merasmikan persidangan itu yang turut mendapat kerjasama Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Inspirasi Muhibah India Muslim Malaysia (IMIM) di Kuala Lumpur baru-baru ini. Turut hadir Presiden Permim, Mohamed Azman Shah Bin Mohd Shahul Hameed.

Teladan Nabi dalam era AI

Mengulas lanjut, beliau berkata, tema dan pengisian persidangan berkenaan amat bertepatan dengan cabaran semasa kerana merangkumi pelbagai dimensi kehidupan moden, termasuk relevansi teladan Rasulullah SAW dalam era AI.

Penghayatan akhlak Baginda dalam kehidupan seharian, panduan menghadapi Islamofobia serta kepentingan perpaduan dalam masyarakat turut menjadi antara perkara yang diberikan perhatian, ujarnya.

Jelasnya lagi, sirah Nabawiah bukan sekadar sejarah masa lalu untuk diceritakan, sebaliknya merupakan panduan kehidupan yang sentiasa relevan merentas zaman.

PESERTA mendengar forum perdana yang disampaikan ahli panel.

PESERTA mendengar forum perdana yang disampaikan ahli panel.

“Dalam era digital dan globalisasi yang pantas ini, umat Islam berdepan pelbagai cabaran baharu, sama ada dari sudut pemikiran, teknologi mahupun geopolitik.

“Justeru, menjadikan akhlak dan kepimpinan Rasulullah SAW sebagai kompas utama ialah satu keperluan yang tidak boleh ditawar-tawar lagi,” ujarnya.

Beliau berkata, persidangan itu turut menyediakan pelbagai pengisian ilmu bermakna, bermula dengan kuliah dalam pelbagai bahasa, forum perdana, sehinggalah majlis penutupan dan penyampaian Anugerah Tokoh Mawlid 2026.

Sehubungan itu, beliau menyeru para hadirin supaya memanfaatkan peluang berkenaan untuk menimba ilmu, menghayati mesej yang disampaikan penceramah serta menterjemahkannya dalam usaha membentuk masyarakat harmoni, berdaya saing dan berakhlak mulia.

Belia jadi pelopor imej Islam

Dalam pada itu, beliau menegaskan golongan belia memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan sunnah dan risalah Nabi Muhammad SAW, memandangkan mereka merupakan nadi penggerak serta pewaris kepemimpinan masa hadapan.

Menurutnya, menghidupkan sunnah Rasulullah SAW dalam kalangan anak muda tidak bermaksud menolak kemodenan, sebaliknya membawa nilai murni yang ditunjukkan Baginda ke dalam gaya hidup moden, platform digital dan alam pekerjaan.

“Anak-anak muda perlu dijadikan pelopor yang membawa imej Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam, penuh kasih sayang, berilmu tinggi dan berdaya saing.

“Kita juga perlu menjauhi perbuatan memfitnah, mengadu domba dan menyebarkan perkara yang boleh merosakkan hubungan sesama manusia, khususnya melalui media sosial,” katanya.

Beliau berharap ibu bapa dan masyarakat dapat bersama-sama mendidik generasi muda supaya mengamalkan nilai berhemah serta menjadikan prinsip Islam sebagai panduan dalam setiap aspek kehidupan.

MOHAMED AZMAN SHAH (tiga dari kanan) menyerahkan cenderamata kepada Ayob Khan (tengah) pada persidangan tersebut.

MOHAMED AZMAN SHAH (tiga dari kanan) menyerahkan cenderamata kepada Ayob Khan (tengah) pada persidangan tersebut.

Syed Kamarulzaman turut menaruh harapan agar program seumpama itu dapat mencetuskan kesedaran dalam kalangan belia untuk menjadikan sunnah dan akhlak Rasulullah SAW sebagai benteng peribadi ketika menghadapi arus globalisasi yang semakin mencabar.

Menurutnya, penghayatan terhadap ajaran dan teladan Baginda bukan sahaja mampu membentuk peribadi Muslim yang unggul, malah menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan saling menghormati.

Persidangan Mawlid 6.0 yang bermula seawal 7 pagi itu dihadiri kira-kira 1,500 orang untuk mendengar pengisian yang disampaikan tokoh dari dalam dan luar negara termasuk Habib Ali Zaenal Abidin, Profesor Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan ramai lagi.

Scroll to Top