Keluarga Norhazwani harap suspek terima hukuman setimpal

Keluarga Norhazwani harap suspek terima hukuman setimpal

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Keluarga pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Norhazwani Ibrahim yang dipercayai dibunuh suaminya di Nilai, Negeri Sembilan, menuntut keadilan dan berharap suspek menerima hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukannya.

Abangnya, Mohd Hazwan Ibrahim, 38, berkata, keluarga mahukan keadilan buat Allahyarham dan berharap pihak berkuasa memastikan kes itu disiasat secara menyeluruh.

“Kami harap mendapat keadilan dan suspek menerima hukuman yang setimpal dengan jenayah dilakukannya,” katanya ketika dihubungi.

Suspek yang berusia lingkungan 30-an itu direman tujuh hari lagi bagi membantu siasatan lanjut berhubung kematian Norhazwani, 35.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, perintah reman terbaharu itu bermula 23 hingga 29 Oktober ini bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan.

Sebelum ini, suspek direman selama tujuh hari bermula 16 Oktober lalu.

Norhazwani ditemukan meninggal dunia di kuarters kediaman kerajaan di Nilai pada 15 Oktober lalu. Suaminya kemudian menyerah diri kepada polis.

Bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat tekanan pada leher, selain terdapat tiga kesan tikaman pada tubuhnya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pasangan itu berkahwin selama tujuh tahun dan dikurniakan dua anak perempuan berusia lima dan enam tahun, yang kini dijaga ibu saudara mereka di Tumpat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top