IPOH: Sindiket penipuan perjudian dalam talian yang menyasarkan mangsa warga Australia berjaya ditumpaskan menerusi serbuan polis di sebuah rumah tiga tingkat di Kamunting, Taiping, Selasa lalu.
Operasi pada pukul 8.05 malam itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, dalam operasi itu, enam lelaki warga tempatan berusia 22 hingga 31 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.
Memuatkan artikel berkaitan…
Katanya, kesemua suspek dipercayai berperanan sebagai ejen mencari pelanggan dan mempromosikan aktiviti perjudian dalam talian dengan menerima upah antara RM6,000 hingga RM10,000 sebulan.
“Mereka dipercayai menggunakan pintu belakang rumah berkenaan untuk keluar masuk bagi mengelakkan pergerakan dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Perak, di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam serbuan itu, polis turut merampas 18 telefon bimbit pelbagai jenama, 10 monitor, enam unit pemproses pusat (CPU) dan satu unit router.
Katanya, kesemua barangan yang dirampas itu dianggarkan bernilai kira-kira RM35,000.
“Hasil analisis media yang dijalankan terhadap komputer yang digunakan sindiket itu mendapati mereka menjalankan kegiatan penipuan perjudian dalam talian yang menyasarkan warga Australia.
“Siasatan mendapati, sindiket tersebut menggunakan aplikasi media sosial Telegram dan WeChat untuk berkomunikasi dengan mangsa,” katanya.
Mohd. Alwi berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Julai lalu dan menawarkan perkhidmatan menerusi platform perjudian yang diwujudkan khusus untuk pelanggan mereka.
Katanya, antara platform yang digunakan ialah One2Bet-AUS, Roladoll-AUS dan Majesty777-AUS dengan pakej permainan bernilai antara AUD30 hingga AUD200.
“Sindiket itu turut menggunakan akaun bank di Australia untuk menerima bayaran daripada pelanggan dengan kad SIM dalam telefon bimbit yang dirampas turut menggunakan talian telekomunikasi negara berkenaan.
“Sindiket itu juga menggunakan gambar profil wanita Eropah bagi menarik minat pelanggan menyertai platform perjudian terbabit,” katanya.
Tambah beliau, kesemua suspek direman empat hari sehingga esok untuk siasatan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120(b) Kanun Keseksaan. – UTUSAN




