sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas jurulatih skuad senior wanita negara, Joe Cornelli akhirnya memilih untuk berpisah dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas 17 bulan membimbing pasukan berkenaan.
Jelas Cornelli, beliau mengakui banyak pengalaman berharga diraih sepanjang melatih Malayan Tigress dan bukan sesuatu yang mudah untuk meninggalkan apa yang sudah dibina hampir dua tahun ini.
“Selepas 17 bulan berkhidmat sebagai ketua jurulatih skuad senior wanita kebangsaan Malaysia, tibalah masanya untuk menutup satu bab penting dalam perjalanan profesional saya.
“Sepanjang tempoh berkenaan, kami bekerja dengan penuh dedikasi dan komitmen, selain memulakan proses penting pembaharuan skuad menerusi kemasukan pemain baharu bagi membina asas untuk pembangunan pasukan pada masa depan.
“Saya melangkah pergi dengan pengalaman berharga, kenangan yang akan kekal terpahat dan kepuasan kerana telah memberikan yang terbaik dengan penuh profesionalisme, rasa hormat serta kecintaan terhadap bola sepak,” katanya menerusi media sosial miliknya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.
© New Straits Times Press (M) Bhd




