EAIC syor JAS tingkat pemeriksaan premis e-waste waktu malam

EAIC syor JAS tingkat pemeriksaan premis e-waste waktu malam

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempertingkatkan pemeriksaan pada waktu malam terhadap premis pemprosesan buangan terjadual (e-waste) dan kitar semula bagi memastikan aktiviti serta kemungkinan pelanggaran undang-undang dapat dikesan dengan lebih berkesan.

Syor itu dikemukakan susulan siasatan lanjut EAIC terhadap tindakan penguatkuasaan JAS ke atas premis e-waste di Kawasan Perindustrian Segamat, Johor, yang mendapati pemeriksaan malam ketika ini hanya dilaksanakan berdasarkan keperluan dan aduan diterima.

EAIC memaklumkan siasatan yang diputuskan menerusi Mesyuarat Suruhanjaya Bilangan 10/2026 pada 13 Oktober lalu mendapati JAS melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan, termasuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap kesalahan berulang oleh premis terbabit.

Katanya, JAS turut menjalankan pemeriksaan berkala dan mengenakan tindakan tegas terhadap premis yang didapati melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta peraturan berkaitan buangan terjadual dan pelesenan.

“Selain tindakan mengeluarkan arahan lapangan, notis arahan dan kompaun terhadap premis yang didapati melakukan kesalahan, tindakan pendakwaan juga dilaksanakan terhadap premis yang melakukan kesalahan mengikut Akta 127,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

EAIC menjalankan siasatan menerusi Pasukan Petugas E-Waste Segamat 2.0 bagi meneliti pelaksanaan syor penambahbaikan yang dikemukakan kepada JAS sebelum ini, selain menyiasat dakwaan isu baharu membabitkan penguatkuasaan, termasuk isu lesen separa, operasi pada waktu malam dan kesalahan berulang.

Dalam perkembangan berkaitan, EAIC mengambil maklum langkah JAS menambah baik pelaksanaan penguatkuasaan, termasuk menyemak semula prosedur operasi standard (SOP), memuktamadkan garis panduan kompaun serta mengemas kini prosedur berkenaan susulan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang berkuat kuasa pada 26 Mac 2025.

EAIC juga mendapati JAS sudah meningkatkan sistem pengurusan aduan menerusi penambahbaikan aplikasi myJAS Aduan yang boleh diakses orang awam pada bila-bila masa, selain melaksanakan latihan berkala kepada pegawainya sepanjang 2025 dan 2026.

EAIC turut mengambil maklum pengukuhan pewakilan kuasa penguatkuasaan menerusi Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Pewakilan Kuasa kepada Jabatan Kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan dan Perbadanan) 2025 yang berkuat kuasa pada 8 Julai tahun lalu.

Selain itu, agensi penguatkuasaan berkaitan turut melaksanakan tindakan secara bersepadu menerusi Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara yang ditubuhkan secara rasmi pada 8 Disember 2025.

EAIC berharap semua agensi berkaitan terus mempergiat usaha penguatkuasaan bagi menangani isu e-waste secara menyeluruh demi menjamin pemuliharaan alam sekitar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top