Mimi Fly nafi babak bacaan mantera PGL sentuh agama

Mimi Fly nafi babak bacaan mantera PGL sentuh agama

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya : Penyanyi dan pelakon, Mimi Fly menegaskan babak bacaan mantera dalam pementasan Puteri Gunung Ledang (PGL) The Musical tidak menyentuh sensitiviti keagamaan.

Mimi atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina, 40, berkata, orang ramai tidak sepatutnya menyamakan karakter Bayan dilakonkan di pentas dengan kehidupan peribadinya sebagai seorang Muslim.

Katanya, dia melakonkan watak Bayan adalah untuk menjiwai naskhah berkenaan.

“Sebab kalau saya tak buat watak Bayan pun, saya juga seorang artis. Jadi, saya tetap dengan perspektif di mana sebagai artis kita pastikan watak dan naskhah yang kita lakonkan berkesan.

“Jadi saya tak nak sibukkan hal keagamaan kerana yang penting saya menjaga karakter ini kerana Bayan adalah bayan. Karakter tu adalah watak yang saya lakonkan. Saya juga tetap jadi diri saya bila balik rumah, jumpa ibu dan solat bersama dengannya,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi yang diatur di pejabat Enfiniti (M) Sdn Bhd di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, kata Mimi, sebagai pelakon, dia bertanggungjawab untuk memikul amanah apabila menerima tawaran sesebuah naskhah.

Menurutnya, seseorang pelakon juga perlu bersedia menanggung segala risiko demi kecintaan pada bidang lakonan.

“Sebagai pelakon, kita tak boleh kisah sangat pasal perkara itu (bacaan mantera) kerana kita ada tanggungjawab dan amanah yang perlu dilakukan.

“Bila jadi pelakon, kita juga kena tahu apa saja yang memberi kesan pada karakter itu dan risikonya harus ditanggung. Itu sebabnya juga saya terima tawaran ini.

“Memanglah lakonan akan dapat kritikan orang tapi kalau kita risau, kita tak akan terima tawaran itu,” katanya.

Ditanya babak bacaan mantera yang dibimbangi mencetuskan salah faham, Mimi menyifatkan teater adalah kaedah bercerita masyarakat terdahulu sebelum wujudnya teknologi moden.

“Ya, ini adalah cara bagaimana orang-orang dulu menyampaikan cerita. Sekarang kita sudah ada internet di mana kita baca, tengok dan kita teroka. Tapi dulu, teaterlah cara orang memperkenalkan sesuatu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pementasan teater PGL The Musical arahan Puan Sri Tiara Jacquelina bakal dipentaskan bermula 31 Oktober hingga 15 November ini.

Selain Mimi Fly, teater muzikal itu juga membariskan barisan pelakon hebat lain antaranya Aisha Retno, Aqasha, Luqman Hafidz, Yusof Hashim, Nadia Aqilah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top