Lubang Benam di Bandar Perda, IWK ambil tindakan segera

Lubang Benam di Bandar Perda, IWK ambil tindakan segera

Bukit Mertajam: Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd akan segera menjalankan kerja pembaikan paip pembetungan susulan kejadian lubang benam yang berlaku di Lorong Perda Selatan 1, Bandar Perda di sini semalam.

IWK dalam kenyataan malam ini memaklumkan kerja pembaikan akan menggunakan kaedah penggalian terbuka dan dijadual dimulakan sebaik sahaja kelulusan permit diperoleh daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

“Sebaik sahaja menerima aduan semalam pasukan operasi IWK telah ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan awal. Hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat kerosakan pada paip pembetungan dengan diameter 900 milimeter terletak kira-kira enam meter di bawah permukaan tanah,” menurut kenyataan itu.

IWK memaklumkan pihaknya juga telah memasang penghadang keselamatan di sekitar kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan lalu lintas awam, selain menyediakan pelan pengurusan trafik bagi memastikan kerja pembaikan dapat dilaksanakan dengan selamat dan teratur.

Menurut kenyataan itu kerja pembaikan dijangka mengambil masa kira-kira dua hingga tiga minggu, tertakluk kepada keadaan cuaca dan situasi sebenar di tapak berkenaan.

IWK komited untuk memastikan kerja pembaikan dilaksanakan dengan segera dan selamat di samping memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

“Orang ramai turut dinasihatkan berwaspada dan mematuhi arahan keselamatan di sekitar kawasan terjejas,” menurut kenyataan itu.

Semalam, kejadian lubang benam di hadapan sebuah bank di Bandar Perda di sini yang tular di media sosial, disyaki berpunca daripada kebocoran sistem pembetungan IWK.

Datuk Bandar MBSP Datuk Baderul Amin Abdul Hamid dilaporkan berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu pada 2.30 petang sebelum tindakan segera diambil dengan memasang penghadang dan pita keselamatan di lokasi.

Beliau berkata, siasatan awal MBSP mendapati kejadian itu mungkin berpunca daripada kebocoran sistem pembetungan IWK dan aduan telah dirujuk kepada syarikat berkenaan yang menjalankan siasatan lanjut termasuk pemeriksaan menggunakan CCTV bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan tindakan pembaikan selanjutnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top