Liga Takraw Nasional Mekdi: Budak sekolah Seberang Takir tak gentar

Liga Takraw Nasional Mekdi: Budak sekolah Seberang Takir tak gentar

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Berbekalkan pemain muda sekolah harian, Seberang Takir tidak gentar untuk menguji keupayaan apabila turun memburu pengalaman dalam Liga Takraw Nasional Mekdi Zon Timur di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, 20 dan 21 November ini.

Biarpun bakal berdepan cabaran pasukan yang mempunyai latar belakang lebih tersusun, termasuk sekolah sukan, pengurus pasukan, Adam Aiman Rusli, tetap mahu anak buahnya turun tanpa rasa rendah diri.

Malah, beliau mempertaruhkan dua pasukan dengan harapan kejohanan itu menjadi medan terbaik untuk mengukur kemampuan pemain yang selama ini banyak mengasah kemahiran menerusi aksi petang di sekitar Seberang Takir.

Menurutnya, beliau tidak meletakkan sasaran tinggi kerana kebanyakan pemain masih baharu, sebaliknya mahu mereka memberikan aksi terbaik dan memanfaatkan peluang beraksi dalam kejohanan yang membuka ruang kepada bakat muda.

“Saya tak letak sasaran tinggi kerana pemain ini masih baharu. Saya cuma nak tengok prestasi terbaik mereka dan sejauh mana kemampuan mereka apabila berdepan pasukan lain.

“Saya sudah lama mahu menghantar pemain bawah 16 tahun menyertai kejohanan seperti ini, tetapi sebelum ini kebanyakan pertandingan yang ada lebih kepada kategori terbuka. Jadi, apabila peluang ini muncul, saya terus daftarkan mereka,” katanya.

Menariknya, pemain Seberang Takir bukan sekadar beraksi sesama rakan sebaya, malah turut berlatih bersama pemain dewasa bagi membina keyakinan dan membiasakan diri dengan tekanan ketika berdepan lawan lebih berpengalaman.

Adam berkata, pendekatan itu diharap dapat membantu pemainnya mengatasi rasa gementar, terutama apabila berdepan pasukan yang mempunyai kelebihan dari segi pengalaman dan pendedahan pertandingan.

“Kalau nak kata gerun, tidaklah. Kita masuk memang nak beri saingan. Saya mahu tengok tahap sebenar pemain dan pada masa sama kenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki, terutama dari segi servis dan pertahanan,” katanya.

Keyakinan itu turut disokong pengalaman beberapa pemain yang pernah mewakili daerah Kuala Nerus, selain kejayaan pasukan melangkah ke suku akhir kejohanan terbuka di Terengganu pada September lalu, walaupun bersaing dengan pemain tanpa had umur.

Dalam usaha melahirkan pemain yang mampu pergi lebih jauh, Adam turut meletakkan harapan terhadap tekong, Muhammad Syafi Farhan Sharizat, yang dilihat mempunyai potensi menerusi kelebihan servisnya.

“Dia ada potensi, terutama dari segi servis. Tetapi bakat sahaja tidak cukup kalau tidak rajin berusaha dan berlatih. Saya harap dia dan pemain lain terus bekerja keras untuk membuka peluang ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Bagi Adam, penyertaan dalam Liga Takraw Nasional Mekdi bukan sekadar mahu mengejar kemenangan, tetapi peluang membuktikan pemain daripada kelab setempat juga mampu memberi saingan kepada pasukan yang lebih berpengalaman.

Beliau berharap lebih banyak kejohanan berasaskan kelompok umur dapat dianjurkan di Terengganu bagi menggalakkan penyertaan pemain muda, sekali gus memperluas kumpulan bakat yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, usaha merancakkan semula sepak takraw di peringkat akar umbi perlu bermula dengan membuka lebih banyak ruang pertandingan supaya bakat baharu tidak terhenti setakat bermain di gelanggang pada waktu petang.

Pasukan yang berminat untuk menyertai saingan di Zon Timur melayari https://forms.gle/ofTG1orbEkhYbo6w6.

Johan zon akan membawa pulang RM5,000 berserta piala dan medal, manakala naib johan menerima RM3,000 dan tempat ketiga bersama menerima RM1,500 setiap satu.

Turut disediakan hadiah RM500 untuk pemain terbaik bagi setiap posisi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top