am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Perikatan Nasional (PN) bersedia menggunakan logo PAS sebagai alternatif sekiranya tidak dapat menggunakan logo PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, gabungan parti itu tidak mempunyai masalah untuk bertanding atas mana-mana logo sama ada logo PN atau bulan.
“Kita akan hadapi PRN Melaka tidak lama lagi. Kalau tidak boleh guna logo PN, kita pakai logo PAS, bersedialah. Kita tidak ada sebarang masalah.
“Alhamdulillah, mahkamah beri penangguhan kepada pembatalan yang dibuat secara haram kepada PN. Keputusan mahkamah memberi ruang kepada PN untuk terus bergerak sebagai gabungan yang sah.
“Di Kelantan dan di seluruh negara, pencinta penyatuan ummah mahu melihat kerjasama itu diteruskan tanpa mengira logo yang digunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (HIMPAK) di sini, malam tadi yang turut dihadiri Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden WAWASAN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Beliau berkata, kerjasama atas nama penyatuan ummah sebelum ini sudah terbukti berjaya meranapkan Pakatan Harapan (PH), termasuk di Johor serta Negeri Sembilan dan diyakini mampu diulangi di Melaka.
“Kerjasama kita atas nama penyatuan ummah akan meranapkan PH. Semua ini akan membawa kita masuk ke PRU-16 sebagai Kerajaan Pusat yang menanti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




