Penders taruhan Chelsea ganti Martinez

Penders taruhan Chelsea ganti Martinez

London: Chelsea kehilangan khidmat penjaga gol Argentina, Emi Martinez selama beberapa minggu selepas menjalani pembedahan akibat patah rahang, kata pengurus Xabi Alonso menjelang aksi Liga Perdana Inggeris menentang Tottenham Hotspur di Stamford Bridge, Ahad ini.

Martinez mengalami kecederaan itu ketika membantu Chelsea menewaskan Everton 2-0 pada Sabtu lalu sebelum dikejarkan ke hospital susulan perlanggaran dengan pertahanan, Jarrad Branthwaite.

Alonso berkata, Martinez sudah menjalani pembedahan dan kini memerlukan masa untuk pulih, namun tempoh sebenar dia kembali beraksi masih belum dapat dipastikan.

“Keadaannya semakin baik dan dia sudah menjalani pembedahan. Kami masih perlu menunggu perkembangan lanjut. Dia akan tersisih selama beberapa minggu dan kami berharap tempohnya lebih singkat,” katanya pada sidang media.

Ketiadaan Martinez dijangka membuka peluang kepada Mike Penders untuk mengawal gawang Chelsea ketika menentang Spurs.

Alonso yakin penjaga gol itu bersedia memikul tanggungjawab selepas menunjukkan prestasi meyakinkan dalam sesi latihan dan beberapa aksi piala sebelum ini.

“Dia sudah bersedia. Dia berlatih dengan baik dan beraksi dalam beberapa perlawanan piala, sekali gus membuktikan dia mempunyai kualiti yang baik.

“Ketika diturunkan menentang Everton, dia menunjukkan personaliti dan keupayaannya walaupun hanya bermain beberapa minit,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Alonso mengesahkan pertahanan Malo Gusto sudah pulih dan boleh dipertimbangkan untuk aksi menentang Spurs selepas terlepas perlawanan lalu akibat sakit.

Bagaimanapun, Pep Chavarria masih belum bersedia untuk kembali beraksi meskipun sudah meningkatkan intensiti latihannya.

“Malo berada dalam keadaan baik. Pep sudah menjalani lebih banyak latihan, tetapi dia belum bersedia untuk perlawanan ini,” kata pengendali dari Sepanyol itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top