Peres digantung sementara isu doping

Peres digantung sementara isu doping

Paris: Juara maraton dunia, Peres Jepchirchir digantung sementara selepas sampel ujian doping di luar pertandingan pelari Kenya itu didapati positif bahan terlarang EPO, umum Unit Integriti Olahraga (AIU), hari ini.

Peres, 33, yang meraih pingat emas Olimpik pada temasya Tokyo 2020 yang berlangsung pada 2021 akibat pandemik Covid-19, kini berdepan siasatan berhubung dakwaan penggunaan bahan yang meningkatkan penghasilan sel darah merah.

Penggantungan sementara dikenakan ketika kes berkenaan disiasat dan tidak bermakna pelari itu sudah disahkan bersalah atas pelanggaran peraturan antidoping.

Menurut AIU, sampel berkenaan diambil di Kenya sebelum Peres meraih kemenangan pada Maraton Sydney baru-baru ini.

Kes itu menambah tekanan terhadap olahraga Kenya yang sejak 2017 menyaksikan lebih 140 atletnya digantung sementara atau dikenakan penggantungan selepas kes berkaitan doping.

Antara atlet terbabit ialah pemegang rekod dunia maraton wanita, Ruth Chepngetich.

Peres sebelum ini mencipta nama sebagai antara pelari jarak jauh paling berjaya apabila pernah memegang rekod dunia separuh maraton selain memenangi empat perlumbaan utama siri Kejuaraan Utama Maraton Dunia.

Dia menjuarai Maraton New York pada 2021, Maraton Boston pada 2022, Maraton London pada 2024 dan Maraton Sydney pada 2026.

Kes berkenaan juga dijangka meningkatkan perhatian terhadap dasar serta pelaksanaan usaha membanteras doping di Kenya, terutama selepas Olahraga Dunia memberikan hak penganjuran Kejohanan Olahraga Dunia 2029 kepada Nairobi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top