KUANTAN: Di sebalik keterujaan orang ramai menunggu perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) beroperasi Disember ini, seramai 47 pelatih dari Akademi Rel Pahang (ARP) kini bersedia menggalas tanggungjawab sebagai tenaga kerja tempatan yang bakal memastikan kelancaran operasi perkhidmatan rel berkenaan.
Mereka antara 259 pelatih dari seluruh negara yang menamatkan latihan dalam Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI-ECRL) di China dalam pelbagai bidang berkaitan menerusi tiga kumpulan latihan bermula Mei tahun lalu hingga Julai tahun ini.
Daripada jumlah itu, seramai 96 pelatih adalah dari negeri ini yang mengikuti latihan menerusi ARP dan Pahang Skills dijadualkan ditempatkan di antara 20 stesen utama sepanjang laluan ECRL sejauh 665 kilometer dari Gombak, Selangor hingga ke Kota Bharu, Kelantan.
Memuatkan artikel berkaitan…
Pelatih ARL, Muhammad Adam Hakimi Zulkifli, 22, berkata, dia memohon program latihan berkenaan selepas tamat belajar di UCYP bersama rakannya.
“Saya pada mulanya tidak berhasrat memohon namun selepas diajak oleh seorang rakan, saya cuba menghantar permohonan bersamanya.
“Namun siapa sangka niat hanya untuk menemani rakan membuahkan hasil sebaliknya rakan saya itu kurang bernasib baik apabila permohonannya ditolak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi sempena Tamat Kursus Pelatih ARL Program PLKI-ECRL sesi 2025/26 di Kompleks Yayasan Pahang, di sini, kelmarin.
Katanya, lebih mengejutkan apabila dia terpilih antara 10 pelatih terbaik sehingga menerima Anugerah Pelatih Cemerlang yang disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdi Wan Ismail.
“Sebelum dihantar ke China, kami menjalani kursus Bahasa Mandarin selama dua minggu bagi membantu memudahkan komunikasi ketika berada di negara berkenaan.
“Pada awalnya memang agak mencabar ketika menjalani latihan di sana namun dengan bantuan rakan-rakan senegara dan negara terbabit, saya dapat memgharunginya dengan baik,” katanya.
Jelasnya, dia kini ditempatkan di Stesen ECRL Kemaman, Terengganu sebagai pegawai tugas stesen (SDO) yang bertanggungjawab terhadap operasi keseluruhan stesen berkenaan.
“Perasaan saya kini bercampur antara teruja dengan gementar berikutan tanggungjawab yang besar untuk memastikan operasi berjalan lancar lebih-lebih lagi ini adalah benda baharu,” katanya.
Sementara itu, bagi satu-satunya pelatih wanita dalam bidang Penyelenggaraan Lokomotif bagi program PLKI-ECRL di China, Nur Auni Hanani Nurhan, 22, berkata, dia mengakui ia menjadi cabaran buat dirinya.
“Daripada 41 pelatih bidang ini, hanya saya seorang wanita dan ia agak mencabar bagi saya terutama dari segi komunikasi dalam kelas selain mungkin berdepan kerja berat,” katanya. – UTUSAN




