Indonesia kurangkan eksport gas ke Singapura

Indonesia kurangkan eksport gas ke Singapura

JAKARTA – Indonesia secara rasmi mengurangkan jumlah eksport gas asli ke Singapura bermula Sabtu sebagai langkah memastikan bekalan tenaga domestik mencukupi bagi memenuhi keperluan negara itu.

Ketua Satuan Kerja Khusus Pelaksana Kegiatan Usaha Hulu Minyak dan Gas Bumi (SKK Migas), Djoko Siswanto berkata, pengurangan tersebut melibatkan dua laluan paip utama dari Natuna dan Sumatera.

Menurutnya, sebanyak 15 bilion unit haba British sehari (BBTUD) dikurangkan daripada bekalan Natuna, manakala 16 BBTUD lagi dari Sumatera.

“Kita kurangkan eksport gas ke Singapura. Dari Natuna 15 BBTUD, dari Sumatera 16 BBTUD,” katanya seperti dilaporkan Antara pada Sabtu.

Djoko menjelaskan, pengurangan eksport tersebut hanya melibatkan Singapura kerana laluan paip berkenaan menghubungkan kedua-dua negara.

Keputusan itu dibuat selepas Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia memberi bayangan kemungkinan kontrak eksport gas ke negara jiran tidak diperbaharui.

Pada Rabu lalu, Bahlil turut memberi amaran kepada negara yang memandang rendah terhadap Indonesia supaya tidak mengambil mudah peranan negara itu.

Selain pertimbangan hubungan serantau, kerajaan Indonesia mahu memastikan bekalan gas mencukupi bagi menyokong pembangunan industri petrokimia tempatan.

Ketika ini, kira-kira 70 peratus gas asli Indonesia digunakan untuk keperluan domestik, manakala 30 peratus lagi dieksport.

Kerajaan turut merancang menilai semula pembahagian tersebut bagi memberi keutamaan kepada pembangunan industri dalam negara. – Agensi

Scroll to Top