Beijing: Kegigihan seorang lelaki yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah menguasai aksi papan luncur menggunakan kerusi roda menarik perhatian pengguna internet, sekali gus membuktikan kekurangan fizikal bukan penghalang untuk mengejar impian, lapor South China Morning Post.
Xie Junwu, 55, yang menetap di Nanchang, wilayah Jiangxi, digelar ‘Penunggang Pemecah Angin’ hasil kemahirannya mengendalikan kerusi roda dan melakukan aksi papan luncur.
Ketika berusia 19 tahun, Xie terjatuh dari pokok sehingga mencederakan saraf tunjang toraks dan menyebabkan dirinya lumpuh dari paras pinggang ke bawah.
Sepanjang lapan tahun berikutnya, dia bergantung sepenuhnya pada ibunya dan bergelut menerima hakikat kehilangan kebebasan untuk menjalani kehidupan sendiri.
“Kesakitan itu perkara kedua. Tragedi sebenar ialah apabila saya hilang bayangan tentang masa depan,” katanya dalam satu video ketika mengenang pengalaman berkenaan.
Kematian ibunya pada 2000 menjadi titik perubahan apabila Xie bertekad menunaikan janji yang pernah dibuat kepada wanita itu dengan belajar menjalani kehidupan secara berdikari.
Pada 2004, dia mendapat inspirasi ketika menghadiri pertemuan individu yang mengalami kecederaan saraf tunjang di Qingdao apabila melihat seorang peserta mengimbangi kerusi roda menggunakan dua roda belakang.
Xie kemudian mempelajari pelbagai kemahiran menerusi internet, termasuk mengangkat roda hadapan, menaiki tangga, bermain bola keranjang dan melakukan tarian jalanan.
Latihan itu bukan mudah apabila Xie berulang kali terjatuh sehingga mengalami kecederaan seperti terseliuh dan lebam. Namun, kegigihannya membuahkan hasil apabila dia mencatat Rekod Dunia Guinness (GWR) pada Mei 2012 dengan mengimbangi kerusi roda sejauh 25.8 kilometer, mengatasi rekod terdahulu sejauh 19.96 kilometer yang dipegang seorang lelaki dari Amerika Syarikat.
Xie turut memanfaatkan kemahirannya untuk mengembara, termasuk menakluki puncak Gunung Huangshan pada ketinggian 1,800 meter sebanyak empat kali.
Dia juga mengumpul 32 pingat penamat maraton, dengan pingat daripada Maraton New York City paling bermakna baginya kerana menerima sorakan orang ramai dari seluruh dunia.
Bagaimanapun, Xie masih menyimpan impian untuk kembali merasai pengalaman bermain kasut roda yang menjadi kenangan berharga ketika zaman mudanya.
Tahun lalu, dia mengubah suai papan luncur supaya kerusi rodanya dapat dipasang dengan kukuh sebelum mula berlatih sukan papan luncur menggunakan kerusi roda.
Video yang memaparkan aksinya membuat selekoh dan meluncur secara menggelungsur di jalan raya bandar kemudian tular di internet. “Tangan saya menjadi kaki manakala kerusi roda menjadi kasut saya,” katanya.
Kini, Xie mempunyai lebih 100,000 pengikut di media sosial dan berkhidmat sebagai timbalan pengarah Jawatankuasa Promosi Kebolehcapaian Jiangxi serta perunding pemulihan bagi individu yang mengalami kecederaan saraf tunjang.
Menerusi bimbingannya, seorang pesakit lain turut belajar menguruskan urusan harian secara berdikari, termasuk mengemop lantai dan membeli barangan keperluan menggunakan kerusi roda.
Xie kini merancang menganjurkan pertandingan sukan papan luncur menggunakan kerusi roda yang pertama di China bagi menggalakkan individu yang mengalami kecederaan akibat kemalangan saling menyokong dan membina semula keyakinan diri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




