SELANGOR FC akan mengemukakan tuntutan pampasan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) susulan kecederaan yang dialami pemain sayapnya, Faisal Halim ketika mewakili Harimau Malaya dalam kempen Piala ASEAN FIFA 2026 bulan lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, kelab itu kini dalam proses mengumpulkan dokumen berkaitan bagi menyokong tuntutan berkenaan, berdasarkan peruntukan pampasan FIFA yang tertakluk kepada syarat ditetapkan.
“Selangor FC akan mengumpul dokumen yang diperlukan untuk menyokong tuntutan kepada FIFA itu,” katanya.
Menurutnya, terdapat klausa pampasan FIFA bagi pemain yang tidak dapat pulih dalam tempoh 28 hari akibat kecederaan ketika menyertai tugasan antarabangsa, tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan.
Peruntukan itu berpotensi terpakai memandangkan kejohanan berkenaan berlangsung dalam kalendar perlawanan antarabangsa tahap satu.
Faisal mengalami kecederaan selepas aksi kedua Kumpulan A menentang Indonesia, sekali gus memaksanya melupakan baki dua perlawanan Harimau Malaya dalam kejohanan itu, masing-masing menentang Singapura dalam aksi terakhir kumpulan dan Vietnam bagi penentuan tempat ketiga.
Kecederaan tersebut turut menjejaskan khidmat pemain itu bersama Selangor apabila dia terlepas aksi suku akhir kedua Piala FA, perlawanan Liga Super menentang Pulau Pinang serta aksi separuh akhir pertama Piala FA menentang Kuching City FC.



