Orang Asli bimbang jalan retak, runtuh, gesa tindakan segera

Orang Asli bimbang jalan retak, runtuh, gesa tindakan segera

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Masyarakat Orang Asli yang tinggal berhampiran lokasi tanah runtuh di Seksyen 84.15, Jalan Lojing-Gua Musang, dekat Yayasan Albarakah, di sini, Rabu lalu menggesa pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera.

Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan, Bidi Ronggeng, berkata, kejadian tanah runtuh dan rekahan jalan yang kerap berlaku pada musim hujan menimbulkan kebimbangan penduduk setempat, khususnya masyarakat Orang Asli yang bergantung pada laluan itu untuk urusan harian.

Katanya, pemeriksaan teknikal perlu dilakukan segera oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menentukan tahap keselamatan jalan berkenaan serta mengelakkan runtuhan lebih besar, terutama ketika musim tengkujuh.

“Setiap tahun kita berdepan risiko runtuhan tanah dan rekahan jalan ketika musim tengkujuh.

“Kami risau kerana tidak lama lagi cuti sekolah dan perayaan Deepavali, jumlah kenderaan dijangka bertambah, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan sekiranya berlaku runtuhan secara tiba-tiba.

“Jadi kami penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran kejadian berharap dengan kepakaran JKR dapat memastikan laluan Gua Musang-Lojing yang menghubungkan pengguna ke Cameron Highlands dan Ipoh selamat digunakan,” katanya ketika dihubungi.

Penghulu Kampung Hanir, Razak Rongging berkata pihak berkuasa perlu meneliti keperluan menyediakan laluan alternatif berikutan jalan berkenaan adalah laluan utama ke Cameron Highlands, Pahang, Ipoh, Perak dan seterusnya Pulau Pinang.

Katanya, laluan dari kawasan kolam air panas berhampiran simpang ke Pos Hendrop hingga ke Kampung Jalgek, Pos Brooke antara lokasi yang perlu diberi perhatian kerana rekahan jalan berpotensi mengakibatkan mendapan atau lubang benam, terutama ketika hujan berterusan.

“Jalan yang sudah retak boleh runtuh pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi apabila dilalui kenderaan berat seperti lori balak.

“Kita berharap kerajaan mengambil langkah pencegahan lebih awal dan mempertimbangkan lencongan jalan jika perlu demi keselamatan pengguna.

“Saya sendiri pergi melihat jalan dan mendapati terdapat beberapa lokasi yang perlu diberi perhatian termasuk di Pos Blau, Kampung Insept, Pos Brooke dan berhampiran Pos Hendrop.

“Kita tidak mahu menunggu sehingga ada mangsa terkorban baru tindakan diambil,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top