Birmingham: Rekod sempurna Manchester City pada awal musim Liga Perdana Inggeris (EPL) berakhir secara mengejut di Villa Park apabila dua kesilapan yang memakan diri menyebabkan skuad kendalian Enzo Maresca tewas 1-2 meskipun mereka mendominasi sebahagian besar perlawanan.
City tiba di Birmingham dengan rekod kemenangan dalam kesemua tujuh perlawanan liga sebelum ini, namun dua kesilapan di bahagian pertahanan memberikan peluang keemasan kepada Aston Villa yang berjaya dimanfaatkan sepenuhnya.
Kesilapan kawalan bola Marc Guehi pada awal perlawanan membolehkan John McGinn mengumpan bola kepada Nicolas Jackson untuk gol pembukaan, manakala penjaga gol, Gianluigi Donnarumma membiarkan rembatan leret Jackson menerobos ke bawah badannya selepas melepasi tempoh sejam perlawanan.
Keputusan itu amat mengecewakan buat City memandangkan penguasaan permainan berpihak kepada mereka.
Mereka mencatatkan tujuh percubaan tepat berbanding dua daripada Villa dan berkali-kali memaksa Zion Suzuki bekerja keras namun penjaga gol Jepun itu bertindak cemerlang dengan deretan penyelamatan hebat untuk mempertahankan kelebihan tuan rumah.
Maresca hanya mampu meratapi kegagalan pasukannya memanfaatkan peluang serta dua gol yang sepatutnya boleh dielakkan yang akhirnya menentukan keputusan perlawanan.
“Prestasi secara keseluruhannya adalah baik, melihat kepada jumlah peluang yang dicipta. Memang benar, kedua-dua (gol itu sepatutnya boleh dielakkan).
“Kadangkala anda perlu ada sedikit tuah kerana kami hanya membiarkan dua peluang itu berlaku. Tetapi kami mencipta banyak peluang.
“Kami bermain sebahagian besar perlawanan di dalam kawasan penalti mereka tetapi anda perlu lebih tajam dan mengelakkan kesilapan seperti dua gol yang dilepaskan itu,” kata Maresca.
Bagi Villa, selepas tempoh perpindahan musim panas yang penuh ketidakpastian dengan kemasukan dan pemergian pemain termasuk Martinez yang berpindah ke Chelsea – akhirnya terdapat tanda-tanda bahawa skuad Unai Emery mula berada pada prestasi terbaik selepas permulaan liga yang hambar dengan tiga kekalahan daripada empat perlawanan pertama.
“Hari ini adalah satu ujian yang sangat baik, saya amat teruja untuk ujian ini. Hari ini adalah satu langkah ke hadapan,” kata Emery.
City tidak mempunyai banyak masa untuk meratapi kekalahan ini kerana bakal berdepan perlawanan berturut-turut menentang Brighton yang berada pada prestasi terbaik, bermula dengan pusingan keempat Piala Liga pada Rabu, diikuti perlawanan EPL pada Sabtu depan.
“Satu lagi pasukan teratas. Gaya permainan yang berbeza, jadi kami akan membuat penyesuaian dan kemudian memberi fokus kepada diri kami sendiri.
“Itulah perkara paling utama iaitu semangat dan keinginan kami untuk menang,” kata pertahanan City, Ruben Dias.
© New Straits Times Press (M) Bhd




