JKR Selangor laksana kerja naik taraf RM4.2 juta di Persiaran Mokhtar Dahari sejak 2023

JKR Selangor laksana kerja naik taraf RM4.2 juta di Persiaran Mokhtar Dahari sejak 2023

Shah Alam: Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor telah melaksanakan kerja menaik taraf Persiaran Mokhtar Dahari (B49) berdekatan Alam Budiman di sini menerusi kelulusan peruntukan RM4.2 juta oleh kerajaan negeri sejak 2023 sehingga kini.

JKR negeri dalam kenyataan memaklumkan pelaksanaan kerja bagi meningkatkan aspek keselamatan itu antaranya penambahan perabot jalan, pemasangan lampu jalan dan penambahbaikan laluan sedia ada.

“Isu keselamatan di Persiaran Mokhtar Dahari dipandang serius dan kami mengambil beberapa tindakan jangka pendek susulan peningkatan pembangunan serta pertambahan trafik di sepanjang laluan itu,” menurut kenyataan yang dikeluarkan susulan piket oleh Persatuan Penduduk Alam Budiman dan penduduk setempat yang antara lain menggesa pembinaan segera jejambat di persimpangan itu.

JKR Selangor menjelaskan penyelesaian jangka sederhana juga sedang dilaksanakan manakala bagi tindakan jangka panjang, ia sedang dalam perancangan jabatan itu.

“Kerajaan negeri juga telah meluluskan cadangan penambahan satu lorong dengan anggaran 300 meter dari arah Puncak Alam ke Shah Alam bagi mengurangkan kesesakan di Persimpangan Alam Budiman.

“JKR Selangor sedang melaksanakan kerja awalan dan kerja-kerja fizikal dijangka siap selewat-lewatnya pertengahan 2027,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan JKR negeri telah mengambil kira pelan untuk menaik taraf Persimpangan Alam Budiman bagi penyelesaian jangka panjang.

“Kajian trafik di persimpangan itu sedang dilaksanakan dan cadangan akan dikemukakan kepada kerajaan negeri dengan mengambil kira data yang diperoleh. Pelaksanaan itu selari dengan kerja penambahan satu lorong di persimpangan itu,” menurut kenyataan itu.

JKR Selangor memaklumkan pihaknya telah mengemukakan permohonan untuk menaik taraf sepanjang laluan Persiaran Mokhtar Dahari kepada empat lorong dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2).

“Syarat pemajuan pembangunan ditetapkan kepada dua pemaju, iaitu pembinaan satu lorong tambahan menghala ke Shah Alam di persimpangan Persiaran Pulau Lumut/B49 (Persimpangan Alam Budiman).

“Selain itu, ia melibatkan pembinaan satu lorong tambahan menghala ke Puncak Alam di Persimpangan Greenhill Residence,” menurut kenyataan itu.

JKR Selangor menegaskan keselamatan pengguna jalan raya kekal menjadi keutamaan dan tindakan akan terus dilaksanakan berdasarkan tahap risiko, keperluan teknikal, proses kelulusan serta ketersediaan peruntukan.

“Pengguna juga dinasihatkan sentiasa memandu secara berhemah dan memperlahankan kenderaan, terutama ketika menghampiri persimpangan.

“Papan tanda dan had laju perlu dipatuhi bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya lain,” menurut kenyataan itu.

Pada Khamis lepas, Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim memaklumkan Kerajaan Negeri Selangor menganggarkan kira-kira RM128 juta diperlukan bagi menaik taraf Persiaran Mokhtar Dahari secara berperingkat menerusi RS-2.

Antara perkara awal yang akan dilaksanakan termasuk menaik taraf jalan dan empat persimpangan utama di kawasan itu bagi menangani isu kesesakan lalu lintas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top