mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kemampuan Drama Band menarik kehadiran peminat dalam persembahan pentas dijayakan sebelum ini tidak perlu dipertikaikan lagi.
Berbekalkan pengalaman, Aepul Roza (vokalis) bersama anggota lain, Adib (gitaris), Padel (gitaris), Daus (bass), Syahmir (keyboard) dan Faeez (dram) terus mengorak langkah lebih jauh dalam industri muzik.
Selepas beberapa siri konsert yang sukses, Drama Band bakal muncul dengan Konsert Malam Drama Manusia yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Januari depan.
Konsert anjuran Permaico Concerto ini menjadi medan menghimpunkan dua kelompok peminat dalam satu malam istimewa kerana Drama Band akan berkongsi pentas dengan penyanyi Asfan Shah bersama kumpulannya, Manusia.
Aepul berkata, pengalaman menjayakan beberapa konsert sebelum ini, memberi keyakinan kepada mereka untuk kembali bertemu peminat.
“Kalau ditanya pasal keyakinan, ini bukan konsert pertama yang kita sertai atau buat. Ini adalah konsert keempat Drama Band dan ia menjadi pembuka tirai tahun depan.
“Kita bermula pada 2023 dengan konsert sendiri, kemudian bergerak ke Zepp pada 2024. Awal tahun ini, Januari lalu, kita buat konsert di JioSpace sempena meraikan 15 tahun Drama Band.
“Setiap kali kita buat konsert, alhamdulillah sambutannya menggalakkan dan sangat meriah. Kawan-kawan memang menyokong kita.
“Kali ini lebih istimewa sebab kita boleh gabungkan komuniti dan penyokong Drama Band dengan Asfan Shah serta Manusia. Insya-Allah, saya rasa konsert ini akan berlangsung dengan meriah,” katanya.
Bagi Aepul penganjuran konsert secara tahunan masih relevan selagi peminat menunjukkan minat untuk terus menyokong perjalanan mereka sejak 2010.
“Mengadakan konsert setahun sekali memang relevan. Konsert terakhir kita pada Januari 2026 dan yang seterusnya pada Januari 2027.
“Berdasarkan maklum balas kawan-kawan, mereka memang nak datang dan terus menyokong konsert kami. Bagi saya, konsert setahun sekali tidak terlalu banyak.
“Dalam komuniti kita, konsert ini ibarat Hari Raya. Inilah hari untuk kita semua berkumpul setahun sekali. Insya-Allah, kali ini kita berjumpa di Zepp Kuala Lumpur.” katanya.
Ditanya berkenaan lokasi yang dilihat tidak terlalu besar, Aepul berkata, perancangan dibuat oleh pihak penganjur dan Drama Band akur dengan pilihan ini.
“Kalau ikutkan, memang nak terus berkembang dan buat konsert lebih besar. Cuma kali ini kita bekerjasama dengan penganjur, Permaico Concerto.
“Jadi kita ikut perancangan serta keperluan yang mereka sediakan. Dari segi persembahan pentas, teknikal dan artistik, itu memang bahagian kita.
“Sekiranya ada perancangan untuk ke tempat lain seperti Johor atau Ipoh, kita memang ada niat nak pergi tetapi semuanya bergantung kepada perancangan penganjur,” katanya.
Selain mengharapkan sambutan menggalakkan, Aepul tidak menafikan keadaan pasaran semasa yang mencabar menuntut usaha pemasaran lebih agresif bagi memastikan konsert itu mendapat perhatian sewajarnya
“Sokongan peminat setia memang menjadi kekuatan utama Drama Band, namun kita tidak boleh terlalu selesa dan perlu terus berusaha mendekati khalayak.
“Kalau cakap pasal kerisauan, bukanlah kita risau tentang komuniti sendiri, tetapi keadaan pasaran yang kita nampak agak mencabar sekarang.
“Jadi, kita kena bekerja lebih keras dalam pemasaran. Kita tak boleh hanya bergantung kepada sokongan peminat sedia ada, sebaliknya perlu giatkan lagi usaha untuk memastikan lebih ramai orang tahu mengenai konsert ini, ” katanya.
Drama Band boleh dikatakan sebuah kumpulan yang beruntung kerana kesetiaan peminat turut membentuk hubungan rapat antara mereka dengan penyokong.
Ia sekali gus membuktikan perjalanan sesebuah band tidak hanya bergantung kepada populariti seorang anggota terutama vokalis.
“Kita tak pentingkan perkara seperti vokalis lebih popular daripada pemain gitar. Bagi saya, itu perkara normal yang berlaku kepada mana-mana band.
“Kecuali kalau kita Guns N’ Roses, pemain gitar mungkin lebih terkenal daripada vokalis. Tetapi kita bukan Guns N’ Roses, kita Drama Band dan situasinya di Malaysia.
“Apa yang saya nak tekankan ialah peminat sepatutnya mengenali Drama Band secara keseluruhan dengan rapat dan baik. Itu yang penting bagi kita, bukan sekadar mengenali seorang anggota sahaja.” katanya.
Beralih kepada perancangan muzik, Drama Band turut menyediakan ‘buah tangan’ baharu untuk peminat tahun depan, termasuk memberikan nafas segar kepada lagu popular Jesnita nyanyian kumpulan Exists.
“Lagu ini sebenarnya sudah lama dibawakan dalam persembahan langsung Drama Band, namun kita kini bersedia memperkenalkannya secara rasmi sebagai single dengan pendekatan tersendiri.
“Lagu Jesnita ini kita berikan nafas baharu dan jadikannya single rasmi Drama Band selepas ini. Kita juga sudah siapkan satu lagi single baharu, cuma sekarang saya sedang menulis semula liriknya.
“Sebelum ini, kita buat lirik untuk satu perkara, tetapi kita rasa nak ubah hala tuju lagu itu. Insya-Allah, kita akan keluarkan single baharu yang lebih mudah melekat di ingatan pendengar,” katanya.
Untuk Jesnita pula, Drama Band sudah memainkan versi ini dalam persembahan selama lebih kurang setahun dan kini mahu mengeluarkan versi rasmi bersama-sama muzik video.
“Kita akan bawakan dengan gaya Drama Band. Kita takkan ikut gaya asal sepenuhnya, sebaliknya memberikan nafas baharu kepada lagu itu.
“Lagu ini memang lagu Exists, tetapi kita mahu pendengar mendengar sesuatu yang berbeza menerusi susunan dan pendekatan kita sendiri.
“Insya-Allah, Jesnita akan menjadi antara lagu yang kita bawakan dalam konsert nanti. Kita harap peminat dapat menerima versi ini dan sama-sama menyanyikannya nanti.” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




