suharmin.yusuf@hmetro.com.my
CACING gelang yang boleh membesar sehingga 35 sentimeter (cm) di dalam usus manusia bukan sekadar menyerap nutrien daripada makanan, malah jangkitan serius boleh menyebabkan gumpalan parasit itu menyumbat usus sehingga mengancam nyawa.
Lebih membimbangkan, jangkitan cacing gelang atau Ascaris lumbricoides boleh berlaku tanpa disedari apabila seseorang tertelan telur parasit mikroskopik melalui makanan, air atau tangan yang tercemar dengan najis manusia.
Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Azlin Muhammad @ Mohd Yasin berkata, cacing gelang ialah sejenis cacing parasit yang hidup dan membiak di dalam usus kecil manusia.
Katanya, cacing betina dewasa boleh mencapai panjang sehingga 20 hingga 35 cm, manakala cacing jantan berukuran 15 hingga 30 cm.
“Cacing ini masalah penting dalam perubatan kerana dari segi beban penyakit dan epidemiologi dunia, ia dilaporkan menjangkiti hampir separuh penduduk dunia terutama yang hidup di kawasan tropika dan khatulistiwa.
“Ia menjadi penanda aras kesihatan utama bagi tahap kebersihan persekitaran, sanitasi dan status sosioekonomi sesebuah komuniti,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Modul Gastrointestinal dan Hepatobiliari, Jabatan Parasitologi dan Entomologi, Fakulti Perubatan UKM, berkata, seseorang boleh dijangkiti cacing gelang apabila tertelan telur cacing melalui tanah, makanan, air atau tangan yang tercemar terutama jika kebersihan diri dan persekitaran tidak dijaga.
Selain itu, katanya, amalan kebersihan yang rendah, sumber air tercemar dan sayur-sayuran yang tidak dibasuh bersih meningkatkan risiko jangkitan, manakala cuaca panas dan lembap serta banjir memudahkan telur cacing tersebar melalui tanah tercemar.
Mengulas lanjut, Azlin berkata, kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun antara golongan yang paling kerap dijangkiti berikutan tabiat bermain tanah, memasukkan tangan atau objek kotor ke dalam mulut serta tahap kesedaran kebersihan diri yang masih rendah.
“Selain kanak-kanak, pekerja pertanian dan penternakan serta mereka yang terdedah kepada persekitaran tercemar turut berisiko, namun jangkitan sukar dikesan kerana telur cacing terlalu kecil dan gejalanya tidak ketara.
“Jika jangkitan ringan (bilangan cacing di dalam usus adalah sedikit hingga sederhana), ia biasanya tidak menyebabkan gangguan fizikal yang ketara.
“Cacing dewasa hanya duduk di dalam lumen usus kecil dan menyerap sebahagian kecil nutrien tanpa merosakkan dinding usus secara agresif, menyebabkan individu rasa sihat seperti biasa,” katanya.
Dalam perkembangan sama, katanya, kitaran hidup cacing gelang bukan hanya berlaku di dalam usus kerana larvanya turut melalui paru-paru sebelum kembali ke sistem pencernaan untuk membesar menjadi cacing dewasa.
Menurut Azlin, selepas telur matang ditelan, larva akan menetas sebelum menembusi lapisan usus kecil dan memasuki saluran darah untuk sampai ke paru-paru.
Katanya, larva kemudian menembusi dinding alveolus paru-paru, bergerak melalui bronkus ke kerongkong sebelum ditelan semula dan kembali ke usus kecil.
“Dalam proses itu, individu yang dijangkiti mungkin mengalami batuk berterusan, sesak nafas, sakit dada atau demam ketika larva berada di paru-paru,” katanya.
Katanya, apabila cacing membesar di dalam usus kecil pula, gejala boleh merangkumi sakit perut, perut kembung, cirit-birit, loya, muntah dan hilang selera makan.
Jika jangkitan berlarutan, katanya, kesannya boleh menjadi lebih serius, khususnya kepada kanak-kanak yang masih dalam fasa tumbesaran kerana parasit itu menyerap sebahagian nutrien daripada makanan yang dimakan.
Beliau berkata, jangkitan kronik boleh menyumbang kepada malnutrisi dan anemia, sekali gus menjejaskan pertumbuhan serta perkembangan kanak-kanak.
“Kekurangan zat makanan yang berpanjangan menyebabkan pertumbuhan kanak-kanak terencat.
“Selalunya kanak-kanak ini lebih rendah daripada rakan sebaya, pucat, sering berasa letih lesu, tidak bertenaga untuk beraktiviti, serta mengalami penurunan tahap ketahanan imuniti badan,” katanya.
Menurut Azlin, malnutrisi dan anemia kronik turut berisiko menjejaskan perkembangan otak serta keupayaan mental kanak-kanak, termasuk tumpuan dan keupayaan menghafal yang boleh memberi kesan terhadap prestasi akademik.
Dalam keadaan tertentu, katanya, jangkitan yang membabitkan jumlah cacing dewasa terlalu banyak boleh menyebabkan komplikasi kritikal, termasuk usus tersumbat.
“Keadaan itu berlaku apabila cacing dewasa berkumpul dengan padat di dalam usus kecil sehingga membentuk gumpalan yang menghalang laluan kandungan usus.
“Antara tanda yang perlu diberikan perhatian ialah sakit perut yang teruk, perut membuncit, muntah dan tidak membuang air besar selama beberapa hari.
“Jika sumbatan menyebabkan bekalan darah dan oksigen ke dinding usus terjejas, tisu usus boleh mengalami kerosakan sehingga berlaku kebocoran dan jangkitan serius di dalam rongga perut,” katanya.
Katanya, cacing dewasa juga boleh tersasar memasuki saluran hempedu, saluran pankreas atau apendiks, sekali gus menyebabkan keradangan pada organ terbabit.
Bagi mengesan jangkitan, Azlin berkata, pemeriksaan sampel najis menggunakan mikroskop menjadi kaedah utama untuk mengesan telur cacing, manakala ujian darah dan pengimejan perubatan boleh memberikan petunjuk bergantung pada keadaan pesakit.
Menurutnya, rawatan utama bagi jangkitan cacing gelang ialah ubat antiparasit seperti albendazole, manakala prosedur endoskopi atau pembedahan mungkin diperlukan sekiranya berlaku komplikasi tertentu.
Bagaimanapun, katanya, rawatan tidak memberikan perlindungan daripada jangkitan baharu sekiranya seseorang kembali terdedah kepada telur cacing melalui persekitaran tercemar.
“Justeru, amalan membasuh tangan dengan sabun sebelum makan dan selepas menggunakan tandas, membersihkan sayur-sayuran serta buah-buahan menggunakan air bersih, selain memastikan air minuman selamat, penting untuk mengurangkan risiko jangkitan.
“Masyarakat juga perlu memastikan pembuangan najis dilakukan melalui sistem sanitasi yang sempurna bagi mengelakkan pencemaran tanah dan sumber air, selain mendapatkan nasihat pegawai perubatan mengenai keperluan rawatan nyahcacing, khususnya bagi kanak-kanak dan kumpulan berisiko tinggi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




