am@hmetro.com.my
Ipoh: Seramai 109 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak dalam dua serbuan termasuk di Pasar Borong Ipoh, di sini yang berakhir awal pagi hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, semua warga asing yang ditahan dalam Ops Gegar itu berusia antara 19 hingga 59 tahun.
Katanya, serbuan pertama di sekitar pusat bandar pada 9 malam, manakala serbuan berikutnya di Pasar Borong Ipoh pada 1.30 pagi.
“Ketika serbuan, ada warga asing yang cuba melarikan diri, bagaimanapun, atas kecekapan pegawai dan anggota penguat kuasa, semua mereka dapat ditangkap.
“Mereka terdiri daripada 34 wanita dan 75 lelaki warga Thailand, Vietnam, Myanmar, Indonesia dan Bangladesh,” katanya ketika ditemui selepas operasi selesai.
Lokman Effendi berkata, antara kesalahan yang dikesan termasuk tidak mempunyai dokumen sah, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan permit atau pas yang dikeluarkan ke atas mereka.
“Semua tahanan dibawa ke pejabat imigresen negeri untuk proses dokumentasi dan semakan lanjut sebelum dihantar ke depot tahanan,” katanya.
Beliau berkata, susulan operasi itu, pihaknya turut mengeluarkan lima saman kepada majikan dan pemilik premis bagi membantu siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Imigresen 1963.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, lebih 11,000 operasi sudah dilaksanakan sejak 1 Januari lalu membabitkan pemeriksaan ke atas hampir 150,000 warga asing.
© New Straits Times Press (M) Bhd




