Kementerian Digital peruntuk RM700,000 perkasa komuniti, sekolah di Limbang

Kementerian Digital peruntuk RM700,000 perkasa komuniti, sekolah di Limbang

LIMBANG – Kementerian Digital memperuntukkan RM700,000 bagi pelaksanaan Program Kampung Angkat Madani (KAM) dan Sekolah Angkat Madani (SAM) di Limbang, Sarawak.

Kementerian Digital dalam kenyataan memaklumkan, peruntukan itu bagi meningkatkan kemudahan komuniti, memperkukuh prasarana pendidikan serta merapatkan jurang digital, khususnya di kawasan luar bandar.

“Menerusi Program KAM, sebanyak 29 isi rumah di Kampung Belimbing Melugus mendapat manfaat daripada pemasangan lampu solar LED, pembekalan kelengkapan sokongan kampung dan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Kemudahan ICT turut diperluas kepada murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ukong, manakala institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tempatan menerima sokongan bagi melaksanakan kerja pemasangan peralatan elektrik di Kampung Belimbing Melugus,” menurut kenyataan itu.

Bagi Program SAM pula, SK St Edmund menerima kemudahan baharu merangkumi pemasangan skrin LED di dewan, pembekalan papan pintar (smartboard) serta pemasangan titik capaian tanpa wayar (wireless access point) bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih kondusif.

“Pelaksanaan kedua-dua program itu disempurnakan menerusi Majlis Penyerahan KAM dan SAM yang berlangsung serentak dengan Program Jelajah Digital di SK St Edmund pada 24 Oktober,” jelasnya.

Majlis penyerahan disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar dan disaksikan Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah.

Hadir sama, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan ADUN Batu Danau, Datuk Paulus Palu Gumbang.

Program SAM di SK St Edmund dilaksanakan di bawah Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Kementerian Digital.

Majlis berkenaan diadakan bersempena Hari Terbuka SK St Edmund yang turut menampilkan pelbagai aktiviti berteraskan teknologi digital, termasuk pengenalan dan penerokaan kecerdasan buatan (AI), pendedahan literasi digital, kesedaran keselamatan siber serta pencegahan penipuan dalam talian.

Program berkenaan turut diserikan dengan penganjuran Jualan Rahmah Madani yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan kepada warga Limbang bagi membantu meringankan beban rakyat.

Kementerian Digital turut memaklumkan, pelaksanaan KAM dan SAM mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Madani untuk memastikan manfaat pembangunan negara dapat dinikmati masyarakat di peringkat akar umbi melalui penyediaan kemudahan asas, peningkatan akses teknologi dan penambahbaikan prasarana pendidikan.

“Usaha itu juga bertujuan memperluas manfaat pendigitalan, meningkatkan literasi digital serta memastikan pembangunan dinikmati secara inklusif.

“Kementerian Digital komited meneruskan pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, selaras dengan usaha meletakkan Malaysia pada landasan kukuh menuju Negara AI 2030,” tambah kenyataan itu.

Scroll to Top