Beratur panjang hadiri kenduri rakyat BASS

Beratur panjang hadiri kenduri rakyat BASS

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suasana perkarangan Yong Sheng Banquet Hall, Muar, Johor dibanjiri orang ramai seawal jam 10 pagi untuk menghadiri kenduri rakyat bagi meraikan pasangan Bella Astillah dan Syed Saddiq (BASS), hari ini.

Perkara ini dikongsikan menerusi hantaran netizen di Threads yang memuat naik gambar serta video memaparkan orang ramai beratur panjang di sekitar perkarangan dewan terbabit.

Meskipun majlis berkenaan bermula jam 2 petang, tetapi warga Muar yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia bersemangat dan sanggup berpanas demi meraikan hari bahagia pasangan berkenaan.

Difahamkan, ada juga mula beratur seawal jam 7 pagi dan ada yang berpayung, membawa kerusi dan tikar untuk beratur bagi memastikan mereka mendapat tempat duduk bagi majlis berkenaan.

“Penangan BASS, beratur panjang dah,” tulis seorang netizen.

“Gigih korang ya, ada yang duduk di tanah, ada yang bawa kerusi, yang bawa tikar. Dari subuh yang beratur pun ada katanya,” tulis seorang warga maya.

Seluruh rakyat Malaysia dijemput untuk hadir ke majlis berkenaan dan tidak terhad hanya kepada mereka yang menetap di Muar, Johor.

Majlis yang diadakan sehingga 6 petang ini dijangka dihadiri kira-kira 10,000 tetamu bagi meraikan merpati dua sejoli itu.

Terdahulu, Syed Saddiq dan Bella Astillah, sah bergelar suami isteri pada 10 Oktober lalu dengan sekali lafaz.

Pasangan ini mengadakan majlis resepsi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang dihadiri kira-kira 3,000 tetamu pada 18 Oktober lalu.

Mereka juga bakal mengadakan kenduri rakyat di Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top