am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: BERSATU dinasihatkan supaya keluar daripada Perikatan Nasional (PN), jika parti itu enggan menyertai aktiviti anjuran gabungan berkenaan.
Saranan Naib Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Wan Saiful Wan Jan itu dibuat selepas BERSATU mempersoalkan keabsahan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) PN di Ibu Pejabat PAS, di sini, malam ini.
“Saya rasa kalau ‘statement’ (kenyataan) tak nak datang, keluarlah lagi senang. Namun, inilah ceritanya, kita tunggulah dan tengok macam mana (sama ada BERSATU akan hadir mesyuarat tergempar MT PN, malam ini).
“Saya tak pasti (agenda akan dibincangkan dalam mesyuarat tergempar PN), kita tunggu lihat,” katanya ketika ditemui sebelum menghadiri mesyuarat berkenaan, malam ini.
Terdahulu, BERSATU dilapor mempersoalkan keabsahan mesyuarat tergempar MT PN malam ini, susulan pembatalan pendaftaran dikeluarkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS), Selasa lalu.
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dipetik berkata, ini memandangkan perintah penggantungan pelaksanaan dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak boleh dianggap secara automatik memulihkan pendaftaran PN.
Mengulas kenyataan Mohamed Azmin, Wan Saiful berkata, sebarang keputusan sama ada mahu meneruskan mesyuarat tergempar MT PN atau sebaliknya, akan diputuskan kepemimpinan tertinggi gabungan berkenaan.
“Kalau sekiranya tak jadi mesyuarat, kita datang sahajalah. Biasanya dekat sini makanannya sedap,” katanya yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor.
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, mesyuarat PN malam ini, boleh diadakan, namun menjelaskan tidak maklum asas dibangkitkan BERSATU yang mempersoalkan keabsahan rundingan berkenaan.
“Kamu kena tanya BERSATU (asas kononnya PN tidak boleh mengadakan mesyuarat) kerana pada kami boleh (untuk menganjurkan mesyuarat),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




