sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad bola sepak Bawah 15 (B-15) tahun negara meneruskan aksi cemerlang di pentas Festival dan Piala Dunia B-15 FIFA 2026 selepas membelasah Ethiopia 5-0 pada aksi ketiga Kumpulan H di Kompleks Pertandingan Hovsan, di sini, hari ini.
Kemenangan bergaya tanpa bolos itu sekali gus mengekalkan rekod bersih tiga kemenangan berturut-turut buat skuad kendalian P Maniam selepas cemerlang menewaskan Dominica dan Syria dalam dua perlawanan terdahulu.
Dalam aksi menentang Ethiopia, skuad Harimau Malaya B-15 tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila penyerang muda, Danny Firas Musleyadi meledak gol pertama seawal minit keempat perlawanan.
Kecemerlangan jentera serangan negara berterusan apabila Aqheef Haiqal Koko mencuri tumpuan dengan meledak dua gol pantas masing-masing pada minit ke-21 dan ke-23 untuk meletakkan Malaysia selesa mendahului 3-0.
Iman Lutfi Zairol Hisham kemudian melengkapkan malam gemilang skuad muda negara apabila menambah dua lagi gol pada minit ke-29 dan ke-39, sekali gus mengesahkan kemenangan mutlak 5-0 buat Malaysia.
Sebelum perlawanan ini, skuad B-15 negara mempamerkan aksi bertenaga dengan mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Dominica pada perlawanan pembukaan, diikuti kejayaan menundukkan Syria 3-1 menerusi jaringan Danny Firas dan dua gol Iman Lutfi.
Anak buah Maniam akan turun menentang Hungary pada jam 3:30 petang esok (waktu Malaysia) sebelum melengkapkan saingan kumpulan berdepan cabaran Mexico pada jam 10:15 malam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




