Kuala Lumpur: Sebanyak 886 pengamal media di seluruh negara menerima manfaat Tabung Kasih@HAWANA sejak ia diperkenalkan pada April 2023, dengan jumlah sumbangan terkumpul sebanyak RM2,612,790.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kebajikan dan keselamatan pengamal media sentiasa menjadi perhatian kementerian, sekali gus mendorong penubuhan tabung berkenaan bagi menyediakan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Jadi, sesiapa yang memerlukan bantuan daripada tabung ini, sila hubungi pejabat saya atau Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) kerana Bernama merupakan urus setia tabung ini.
“Kami di Bernama dan kementerian akan melakukan yang terbaik untuk membantu rakan-rakan media,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media Minnal FM di Menara Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj, serta Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ashwad Ismail.
Sementara itu, Teo berkata sebanyak 116 pengamal media menerima bantuan menerusi Tabung Kasih@HAWANA X TM sejak kerjasama strategik dengan Telekom Malaysia (TM) dimulakan pada Jun lalu, melibatkan sumbangan berjumlah RM361,300.
Tabung Kasih@HAWANA X TM adalah peluasan inisiatif Tabung Kasih@HAWANA menerusi dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) TM bagi memperluas bantuan kepada lebih ramai pengamal media yang memerlukan.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan menerusi Tabung Kasih@HAWANA X TM kepada tujuh pengamal media yang berdepan masalah kesihatan dan kesempitan hidup. Empat penerima hadir pada majlis itu, manakala tiga lagi akan menerima sumbangan melalui Bernama.
Penerima sumbangan ialah pembantu penerbit Thisaigal S Murugesan, bekas editor Vanakam Malaysia K Padmanabhan, jurukamera sambilan Media Prima A Amuthan, bekas editor Tamil Malar K Maniam, bekas wartawan Malaysia Nanban AS Rajeswaran, penerbit rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Saritha dan jurukamera RTM Norfazreen Ezny Onn.
Tabung Kasih@HAWANA diterajui Kementerian Komunikasi dan dilaksanakan menerusi Bernama bagi membantu pengamal media yang berdepan kesukaran, termasuk masalah kesihatan dan kewangan.
Dalam perkembangan berkaitan, Teo berkata Kementerian Komunikasi menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) turut meneruskan inisiatif Ziarah Seni MADANI@FINAS bagi membantu artis veteran dan penggiat seni yang berdepan masalah kesihatan, keuzuran atau kecemasan.
Beliau berkata sejak 2023 hingga 25 Oktober lalu, sebanyak 250 penggiat seni telah menerima manfaat menerusi inisiatif itu, dengan sumbangan keseluruhan berjumlah RM180,700.
Pada majlis sama, Teo juga menyampaikan sumbangan kepada lima penggiat seni kaum India menerusi inisiatif berkenaan bersempena dengan sambutan Deepavali sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan golongan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




