mohamadridzuan@hmetro.com.my
Pemuja Syaitan yang ditayangkan sejak 15 Oktober lalu meneruskan tradisi genre seram filem tempatan untuk peminat yang gemar menikmati babak cemas, aksi tegang dan ‘jump scare’.
Menariknya, ia adalah garapan sulung pelakon Liyana Jasmay yang kini berjinak-jinak dengan bidang pengarahan.
Jika anda masih ingat, Liyana pernah tampil menerusi filem Histeria iaitu salah sebuah filem seram ngeri (slasher/thriller) ikonik tempatan yang ditayangkan pada 2008.
Filem arahan James Lee ini diterima baik oleh peminat, sekali gus mengangkat nama Liyana.
Dek kerana itu, Liyana memilih konsep serupa dalam filem Pemuja Syaitan dengan memilih latar masa 1996 dan 1997 sebagai ‘universe’ naskhah ini.
Dia mengambil inspirasi daripada filem popular era itu iaitu I Know What You Did Last Summer dan Urban Legend yang sehingga kini masih diingati.
Justeru, semestinya genre ini menampilkan gerombolan pelakon lelaki dan wanita berserta rentetan peristiwa demi peristiwa di dalamnya.
Pemuja Syaitan menampilkan barisan pelakon seperti Zul Ariffin, Aila Azizul, Nadhir Nasar, Elizabeth Tan, Aida Amron, Ellyza Azizi, Dhabita Auji, Nat Aaliyah, Hakim Khan, Marsha Biddulph dan Atoi Tohet.
Ia mengisahkan sekumpulan bekas rakan sekolah yang kembali berkumpul di sebuah pulau sebelum penemuan kapsul masa membawa mereka berdepan rahsia dan kejadian misteri.
Barangkali, ada pihak akan melihat kelemahan filem ini dari segi plot, pembinaan karakter, visual yang gelap, namun Liyana perlu dimaafkan kerana ini adalah filem pertamanya.
Seperti katanya, dia masih cuba memahami sejauh mana penonton Malaysia bersedia menerima sesuatu yang lebih ekstrem dalam genre seram ‘thriller’.
Liyana menjelaskan ketika menulis skrip, banyak perkara mahu dicuba dan diterokainya, tetapi dia perlu berpijak pada realiti dan memahami penonton.
Baginya, Pemuja Syaitan bukan sekadar sebuah filem, sebaliknya ruang eksperimen untuk menguji sejauh mana dia mampu melangkaui batas genre seram Malaysia, sambil memastikan jalan ceritanya masih berteraskan sesuatu yang boleh difahami dan dekat dengan penonton.
© New Straits Times Press (M) Bhd




