PETALING JAYA: Penyanyi rap dan bekas ahli kumpulan K-Clique, Tuju, sedang dalam proses menghantar surat tuntutan (LOD) susulan isu tunggakan royalti yang didakwa tidak dibayar sejak lebih empat tahun lalu.
Tuju, 30, berkata jalan undang-undang itu diambil selepas buntu apabila mesej yang dihantar kepada bekas ahli kumpulanya tidak dibalas.
“Sudah lebih empat tahun royalti tertangguh. Saya tidak sempurna, tetapi ini tentang hak dan titik peluh saya. Saya kena bersuara.
Memuatkan artikel berkaitan…
“LOD sedang dalam proses. Saya memberikan kamu semua peluang untuk menyelesaikan hak saya.
“Sebelum ini ada yang menasihati supaya bincang ‘bagus-bagus’, itulah langkah pertama yang saya ambil sejak hari pertama lagi, namun sehingga kini tiada jawapan,” kongsinya menerusi hantaran di media sosial.
Mengulas lanjut mengenai kontrak kumpulan tersebut, Tuju mendakwa namanya masih dikekalkan dalam kontrak untuk membolehkan pihak tertentu mendapatkan wang pendahuluan (advance money) daripada pengedar.
Bagaimanapun, Tuju menjelaskan bahawa pihak label K-Clique, Black Hat Cat, telah menjalankan tanggungjawab dengan membuat bayaran kepada kumpulan tersebut, namun agihan sesama ahli didakwa tidak dilakukan dengan adil.
“Pihak Black Hat Cat membayar kumpulan itu dengan baik, cuma hak itu tidak dibahagikan dengan betul (sesama ahli).
“Walaupun faktanya saya menulis dan menggubah lebih banyak lagu dalam setiap projek, saya tetap bersetuju dengan pembahagian royalti sama rata kerana saya percayakan keadilan dan kematangan rakan-rakan. Namun, kepercayaan itu nampaknya tidak dihargai,” katanya lagi.
Dalam pada itu, bapa kepada dua cahaya mata ini turut mengingatkan rakan-rakan sekumpulannya supaya bermuhasabah diri memandangkan masing-masing kini sudah memasuki fasa usia 30-an.
Tegasnya, amalan mengambil hak atau titik peluh orang lain adalah satu perbuatan yang tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan penggiat seni yang matang.
“Macam mana buruk pun perangai kita, janganlah mengambil hak orang atau tidak membayar titik peluh orang lain. Kita semua sudah berumur 30 tahun ke atas.
“Sampai bila mahu begini? Mimpi sudah tamat, marilah kita cermin diri masing-masing bersama,” tulisnya.
Pihak Utusan Malaysia telah cuba menghubungi Tuju bagi mendapatkan penjelasan lanjur namun setakat ini tiada jawapan diterima.
Terdahulu pada 2022, anggota K-Clique seperti Noki dan MK mengesahkan Tuju keluar atas kehendak sendiri (sekitar akhir 2022).
MK pernah memohon maaf secara terbuka kepada Tuju jika ada sebarang rasa tersinggung atau terasa hati. -UTUSAN




