PRN Melaka: MCA akan bermesyuarat tentukan kerusi ditandingi sebelum 31 Oktober

PRN Melaka: MCA akan bermesyuarat tentukan kerusi ditandingi sebelum 31 Oktober

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: MCA akan bermesyuarat dalam masa terdekat berhubung kerusi yang akan ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon, berkata keputusan berhubung perkara itu dan rundingan bersama Barisan Nasional (BN) akan dibuat sebelum Sabtu ini.

“Kita akan bincang dalam masa terdekat dan buat keputusan sebelum 31 Oktober,” katanya ketika dihubungi.

Sabtu lalu, MCA dilaporkan tidak akan mengiktiraf mana-mana calon parti itu yang diumumkan BN bagi PRN Melaka ke-16 tanpa mendapat persetujuan kepimpinan tertinggi.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata tindakan mengumumkan calon tanpa rundingan dan persetujuan parti adalah sesuatu yang tidak boleh diterima, terutama apabila kerusi yang sebelum ini ditandingi MCA didakwa diberikan kepada parti lain.

Beliau juga mendakwa MCA tidak dimaklumkan lebih awal bahawa majlis BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu akan membabitkan pengumuman calon, sebaliknya diberitahu ia hanya majlis pelancaran jentera pilihan raya.

Susulan itu, semalam Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi jaminan bahawa rundingan berhubung senarai calon MCA masih boleh diteruskan sebelum hari penamaan calon pada 31 Oktober ini, sekali gus membuka ruang untuk rundingan semula dengan parti itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top