Bantuan khas kewangan sebanyak RM1,000 untuk pemandu teksi dan kereta sewa bukan hanya diberikan kepada golongan itu di Melaka, sebaliknya turut melibatkan penerima di seluruh negara.
Nafi bantuan untuk ‘pancing’ undi PRN
Memetik laporan daripada Sinar Harian, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan, tanggapan bahawa bantuan berkenaan hanya disalurkan di Melaka susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung adalah tidak tepat kerana agihan dilaksanakan secara berperingkat di beberapa negeri.
“Majlis penyampaian bantuan khas kepada pemandu teksi dan kereta sewa ini merupakan siri keempat selepas Putrajaya, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, sebelum diteruskan di Melaka hari ini.
“Saya nak membetulkan beberapa kenyataan di luar yang mempersoalkan mengapa bantuan ini hanya diberikan di Melaka. Hakikatnya, bantuan ini untuk semua pemandu teksi di seluruh negara, bukan hanya di Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah di Auditorium Kompleks CMI, Jalan Lingkaran MITC, pada Isnin.
Foto: Astro Awani
Beri kepada pemandu teksi yang memenuhi syarat
Difahamkan, pada majlis itu, seramai 283 pemandu teksi dan kereta sewa menerima baucar sumbangan bernilai RM1,000 setiap seorang.
Menurut Anthony, bantuan berkenaan diberikan kepada pemandu yang memenuhi syarat, termasuk mempunyai kelab pemandu yang sah serta kad pemandu yang disahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Pemandu yang tidak dapat menghadiri majlis penyampaian pula akan menerima bantuan menerusi pemindahan terus ke akaun masing-masing.
“Kita berharap proses pembayaran ini dapat dipercepatkan dalam tempoh satu hingga dua minggu ini.
“Bermula hari ini, terdapat kira-kira 12,000 penerima yang akan dikreditkan bantuan ke akaun bank masing-masing dan mereka dijangka menerima bayaran dalam tempoh dua hingga tiga hari,” katanya.
Sumber: Sinar Harian (Norafiza Jaafar)




