Lapangan terbang Subang, Ipoh catat pertumbuhan trafik antarabangsa

Lapangan terbang Subang, Ipoh catat pertumbuhan trafik antarabangsa

PETALING JAYA: Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh masing-masing mencatatkan pertumbuhan trafik penumpang antarabangsa sebanyak 24.1 peratus dan 16.6 peratus pada September 2026, meskipun pergerakan penumpang di rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports secara keseluruhan menurun. 

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengendalikan 7.8 juta penumpang di rangkaian lapangan terbangnya di Malaysia sepanjang September, jatuh 12 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.

Trafik penumpang antarabangsa susut 2.2 peratus kepada 4.3 juta penumpang, manakala pergerakan domestik mencatatkan penurunan lebih ketara sebanyak 21.8 peratus kepada 3.4 juta penumpang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, prestasi tersebut menunjukkan kepentingan memperkukuh hubungan udara serantau sambil memastikan perkhidmatan lapangan terbang kekal boleh dipercayai.

“Lapangan terbang seperti Subang, Ipoh dan Pulau Pinang memainkan peranan penting dalam memperluas hubungan udara antarabangsa Malaysia. Kami mahu memanfaatkan momentum ini dengan bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan dan pemain industri pelancongan bagi membangunkan laluan yang membuka lebih banyak peluang perjalanan serta menyokong aspirasi pelancongan negara,” katanya dalam kenyataan. 

Di Subang, trafik penumpang antarabangsa meningkat kepada 59,000 penumpang, manakala Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh merekodkan 31,000 penumpang antarabangsa dalam tempoh sama.

Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang turut mencatatkan pertumbuhan trafik antarabangsa sebanyak 5.3 peratus kepada 348,000 penumpang, merangkumi kira-kira 57 peratus daripada jumlah pergerakan penumpang lapangan terbang itu sepanjang September.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengembangan rangkaian penerbangan perlu bergerak seiring dengan usaha meningkatkan pengalaman penumpang, termasuk melalui pelaporan prestasi bulanan yang lebih telus bagi memastikan standard perkhidmatan dan kebolehpercayaan operasi terus dipertingkatkan.

“Dari segi pengalaman penumpang di KLIA, laporan prestasi bulanan bagi September menunjukkan tahap kepuasan keseluruhan sebanyak 98.8 peratus di Terminal 1 dan 99.4 peratus di Terminal 2.

“Tahap kepuasan terhadap kebersihan terminal turut melebihi 99 peratus di kedua-dua terminal, manakala pemeriksaan tandas secara bebas merekodkan pematuhan penuh terhadap standard yang ditetapkan,” katanya. 

Sementara itu, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu merekodkan 5,000 penumpang antarabangsa pada September susulan pengenalan perkhidmatan penerbangan antarabangsa baharu pada Jun lalu.

Terminal lapangan terbang itu yang diperluas dan dibuka pada April lalu turut meningkatkan kapasiti pengendalian tahunannya daripada 1.5 juta kepada empat juta penumpang.

Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kira-kira 4.9 juta penumpang direkodkan sepanjang September, dengan rangkaian penerbangan antarabangsanya terus berkembang melalui pengenalan laluan baharu.

Sun PhuQuoc Airways memulakan penerbangan ke Phu Quoc pada 1 September, manakala Gulf Air memperkenalkan penerbangan terus dari Bahrain pada 30 September, menjadikannya syarikat penerbangan ke-10 dari rantau Asia Barat yang beroperasi di KLIA.

Bagi tempoh Januari hingga September 2026, operasi lapangan terbang MAHB di Malaysia mengendalikan 75.2 juta penumpang, menurun 2.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, trafik antarabangsa dalam tempoh sembilan bulan itu meningkat 4.5 peratus kepada 41.3 juta penumpang, mencerminkan permintaan perjalanan antarabangsa yang berterusan serta menyokong aspirasi Malaysia untuk memperkukuh hubungan udara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Selain itu, hampir semua barisan pemeriksaan keselamatan di kedua-dua terminal dapat diselesaikan dalam tempoh 10 minit, sementara perkhidmatan Aerotrain memenuhi standard operasi yang ditetapkan sepanjang September.

Pada peringkat kumpulan, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen di Türkiye mengendalikan 4.9 juta penumpang pada September, meningkat 8.5 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.

Prestasi itu menjadikan jumlah kumulatif pergerakan penumpang kumpulan bagi tempoh Januari hingga September 2026 sebanyak 113.9 juta, meningkat 0.7 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. –UTUSAN

Scroll to Top