suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Sabak Bernam: Kerugian RM12,000 ketika berusia 18 tahun tidak mematahkan semangat seorang anak muda untuk kembali menceburi dunia perniagaan, sebaliknya menjadi pengajaran berharga dalam usahanya membina kehidupan lebih baik.
Bermula dengan pekerjaan sambilan dalam bidang peruncitan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia kemudian berjaya menjadi pramugara sebelum mengambil keputusan meninggalkan kerjaya itu demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan minyak wangi yang diusahakan.
Berkongsi kisah, Danial Anas Aizat Ahmad Samhan, 22, berkata, peluang menjadi pramugara ketika berusia 20 tahun membuka lembaran baharu dalam hidupnya, terutama kerana dia berjaya memperoleh pekerjaan itu dengan kelayakan SPM.
“Alhamdulillah, untuk langkah pertama, saya dapat. Saya rasa teruja sebab hanya berbekalkan SPM, saya dapat kerja sebagai pramugara. Saya bukan datang daripada keluarga senang atau berada.
“Ketika bekerja sebagai kru kabin, saya turut mengusahakan perniagaan secara sambilan selama setahun sebelum menyedari jadual penerbangan yang tidak menentu menyukarkan saya membahagikan masa,” katanya kepada Harian Metro.
Katanya, dia kemudian mengambil cuti selama seminggu untuk menguji kemampuan menguruskan perniagaan sepenuh masa sebelum membuat keputusan meninggalkan kerjaya pramugara selepas kontraknya tamat.
“Kalau bekerja sebagai pramugara, kita ada komitmen tetap dan gaji setiap bulan. Kalau perniagaan, ada turun naik. Kadang-kadang tiada jualan, kadang-kadang ada,” katanya.
Anak bongsu dari dua beradik itu berkata, dia mula berniaga dengan menghasilkan jenama kosmetik sendiri ketika berusia 18 tahun, namun mengalami kerugian RM12,000 kerana kurang pengalaman dan sukar menjual produk.
“Waktu itu saya masih muda dan tidak fikir panjang. Nak buat produk memang senang, tetapi nak jual itu susah. Walaupun pernah rugi, saya fikir saya nak cuba sekali lagi dan cabar diri sendiri,” katanya.
Kali ini, Danial memilih perniagaan minyak wangi berdasarkan minatnya terhadap wangian, selain sering menerima pertanyaan mengenai bau minyak wangi yang dipakainya ketika bekerja sebagai pramugara.
“Alang-alang kita sudah wujudkan jenama sendiri, kita bukan jual berdasarkan kuantiti, tetapi kualiti.
“Saya memulakan perniagaan itu dengan hanya 300 unit minyak wangi, namun tidak menyangka kesemuanya habis dijual dalam tempoh 10 minit menerusi platform TikTok,” katanya.
Menurut Danial, pengalaman membina pengikut hampir 100,000 di TikTok menerusi kandungan berkaitan rutin sebagai pramugara turut membuka peluang kepadanya menerima tawaran ulasan berbayar, sekali gus membantunya memahami kepentingan pemasaran dalam perniagaan.
“Sepanjang masih bekerja sebagai pramugara, saya menggunakan waktu rehat selepas penerbangan untuk menguruskan pesanan dan membungkus produk sebelum dihantar kepada pelanggan,” katanya.
Selepas memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan, Danial berkata, dia kini menguruskan kebanyakan operasi dari rumah, termasuk membungkus pesanan dengan bantuan rakan-rakan apabila diperlukan.
Berkongsi perancangan masa depan, Danial berkata, dia mahu mengembangkan perniagaan minyak wanginya menerusi platform e-dagang lain dan laman web sendiri, selain mempertimbangkan untuk menceburi perniagaan pakaian.
Dalam pada itu, Danial menasihati anak muda yang mahu menceburi bidang perniagaan supaya berani mencuba, namun perlu melengkapkan diri dengan ilmu serta memahami strategi pemasaran dan permintaan pasaran sebelum memulakan perniagaan.
“Jangan pernah takut. Kita kena berani buat dulu, baru kita tahu dan belajar dari kesilapan, apa yang betul dan salah. Kalau nak mencuba, buat dengan ilmu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




