IPOH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan sumbangan kewangan kepada dua wartawan wanita yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Ipoh-Lumut, berhampiran persimpangan lampu isyarat Taman Kledang Permai, Menglembu, di sini semalam.
Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Akhbar beliau, Shuhaimi Mohamed ketika menziarahi wartawan New Straits Times (NST), Zahratulhayat Mat Arif, 37, di Medan Klebang Harmoni 2, Chemor dan wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Nur Afiradina Arshad, 34, di Semenyih, Selangor.
Shuhaimi berkata, Ahmad Zahid mendoakan agar kedua-dua wartawan berkenaan segera sembuh dan dapat kembali bertugas seperti biasa.
Memuatkan artikel berkaitan…
Katanya, Timbalan Perdana Menteri itu juga bersedia mempertimbangkan bantuan lanjut sekiranya diperlukan bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.
“Semoga Dina dan Zahra segera sembuh dan kembali bertugas, bukan sahaja untuk Bagan Datuk malah untuk Perak secara keseluruhannya,” katanya ketika ditemui di kediaman Zahratulhayat, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Shuhaimi merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan wartawan di Ipoh yang sentiasa menghulurkan bantuan dan memberikan sokongan kepada kedua-dua wartawan berkenaan ketika berdepan detik sukar susulan kejadian itu.
“Saya berterima kasih kepada rakan-rakan wartawan di Ipoh yang sentiasa berada dekat dengan mereka ketika menghadapi kesusahan.
“Untuk Dina, meskipun kenderaan miliknya mengalami kerosakan teruk, mungkin ada hikmah di sebalik kejadian itu. Saya berharap dia tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.
Sementara itu, katanya, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Jalan Raya sentiasa mengingatkan orang ramai supaya mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.
Katanya, kemalangan boleh berlaku bukan sahaja disebabkan kecuaian sendiri, malah akibat tindakan pengguna jalan raya lain.
“Kadang-kadang bukan kita yang menjadi punca kemalangan, tetapi orang lain. Jadi, kita perlu sentiasa peka terhadap keselamatan, keadaan sekeliling dan persekitaran jalan raya termasuk kawasan yang gelap,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 5.45 pagi semalam, Nur Afiradina Arshad dan Zahratulhayat cedera selepas kereta jenis Perodua Bezza yang dinaiki mereka dirempuh sebuah lori dari belakang ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat susulan lampu merah.
Kedua-dua mereka ketika itu dalam perjalanan dari Meru Raya bagi membuat liputan majlis perasmian program Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah di Bagan Datuk yang dihadiri Ahmad Zahid. – UTUSAN




