am@hmetro.com.my
Petaling Jaya: BERSATU mempersoalkan keputusan Perikatan Nasional (PN) yang mahu mengambil tindakan tatatertib ke atas parti itu.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, antara lain mempersoalkan asas tindakan terbabit, sambil mendakwa BERSATU tidak melakukan kesalahan, dikatakan bertentangan kepentingan PN.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut memaklumkan BERSATU setakat ini, belum menerima sebarang notis berhubung tindakan tatatertib yang mahu dilakukan PN.
“Kenapa (PN) mahu ambil tindakan tatatertib pada kita (BERSATU) yang tak buat salah? Kalau ikut, BERSATU yang laporkan (kesalahan PN) kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
“Jadi agak aneh dan luar biasa kalau Majlis Tertinggi (MT) PN pula buat keputusan hendak ambil tindakan untuk menghukum kita (BERSATU).
“Apa salah kita?” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU di sini, malam ini.
Semalam, PN dilapor akan memulakan prosiding tatatertib terhadap BERSATU susulan dakwaan parti itu melakukan tindakan bertentangan kepentingan gabungan itu.
Ketetapan itu dipersetujui dalam mesyuarat tergempar MT PN dan akan dilaksanakan mengikut Fasal 15 perlembagaan gabungan itu.
Antara tindakan dikatakan bertentangan kepentingan PN ialah BERSATU bertanding di lapan kerusi yang turut ditandingi PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan serta beberapa perkara lain yang akan diperincikan kelak.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, BERSATU memutuskan untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan parti itu pada Januari depan.
Katanya, MPT BERSATU malam ini, turut membincangkan usaha memperkemas parti, selain meneliti persiapan persidangan di peringkat bahagian yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Kita juga ambil kira perkembangan politik semasa, termasuk isu antara lain persiapan menghadapi PRN Melaka,” katanya.
Mengenai persiapan PRN Melaka, Muhyiddin berkata, BERSATU dijadual mengumumkan calon yang akan mewakili parti itu pada 29 Oktober ini.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan perincian mengenai jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi mahupun butiran calon mewakili parti itu.
“Saya tak mahu umumkan (malam ini) kerana (perincian) kerusi ini akan diumumkan pada 29 Oktober.
“Kita memang akan sertai PRN Melaka, tetapi saya tak perlu jelaskan di tempat mana BERSATU akan bertanding, selain persiapan sudah dimulakan sekarang.
“Bagi PRN Sarawak pula, perbincangan akan diadakan selepas PRN Melaka selesai kelak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




