PASPA siapsiaga hadapi krisis kritikal negara

PASPA siapsiaga hadapi krisis kritikal negara

Ipoh: Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) mempamerkan komitmen dan tahap kesiapsiagaan tinggi menerusi Latih Amal Ketenteraman Awam Field Training Exercise (FTX) Arahan MKN No. 21 Peringkat Negeri Perak Tahun 2026.

Latihan berskala besar itu berlangsung dengan jayanya di Pintu B, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, semalam.

Latihan strategik itu dianjurkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Perak.

Fokus utama pelaksanaan eksais ini adalah untuk menguji secara holistik tahap kesiapsiagaan, keupayaan tindak balas pantas serta koordinasi agensi keselamatan sekiranya berdepan dengan sebarang insiden yang menggugat ketenteraman awam.

Dalam senario simulasi yang diaturkan, PASPA memikul peranan yang amat kritikal.

Pasukan elit ini bertanggungjawab sepenuhnya dalam aspek menyelamat, memindahkan dan menguruskan mangsa di lokasi kejadian.

Anggota PASPA dilihat cekap mempraktikkan teknik membawa keluar mangsa dari kawasan berisiko tinggi (zon merah) bagi memastikan keselamatan nyawa mereka terjamin sepanjang proses pemindahan kecemasan dilakukan.

Selain PASPA dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) secara amnya, latihan berprestij ini turut menggabungkan elemen kepakaran daripada pelbagai agensi keselamatan dan jabatan teknikal utama.

Antara terlibat adalah Pasukan Simpanan Polis (PSP) Unit 5 Ipoh, Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PLPGA) Ulu Kinta, Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perak.

Kolaborasi bersepadu ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri dan agensi berkaitan dalam memperkukuh kerjasama merentasi agensi (inter-agency collaboration).

Komponen ini sangat penting terutamanya dari sudut pengurusan insiden, koordinasi tindak balas kecemasan dan penyaluran bantuan kemanusiaan yang berkesan semasa mendepani situasi mencabar atau krisis berskala besar.

Melalui pelaksanaan FTX ini juga, Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada serta kompetensi setiap anggota dapat dinilai dan ditambah baik.

Langkah ini sekali gus memantapkan penyelarasan antara agensi bagi menjamin rantaian tindakan yang lebih pantas, teratur dan berkesan sekiranya berlaku krisis atau ancaman sebenar di masa hadapan.

Latihan amali ini turut dihadiri dan disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak, Datuk Nor Sham Rahman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top