ISKANDAR PUTERI – Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) bersama PwC Malaysia meneroka peluang baharu dalam sektor agromakanan menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi memperkukuh keterjaminan makanan dan pertumbuhan ekonomi serantau.
Usaha itu turut memberi tumpuan kepada pemodenan sektor pertanian melalui penggunaan teknologi pintar, pengukuhan rantaian bekalan rentas sempadan serta penyediaan akses pembiayaan bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing industri.
Perkara itu dibincangkan menerusi meja bulat Iskandar Malaysia CEO Roundtable (IMCEORT) 2026 bertemakan Pertanian dan Keterjaminan Makanan: Memajukan Sistem Agromakanan Berdaya Tahan di JS-SEZ, yang menghimpunkan pemimpin industri daripada sektor pertanian, agroteknologi, pengeluaran makanan dan pembiayaan.
Pengarah Pembangunan Ekonomi IRDA, Rudyanto Azhar berkata, sektor agromakanan merupakan antara bidang penting yang berpotensi memacu fasa pembangunan seterusnya Iskandar Malaysia, khususnya melalui gabungan kekuatan pertanian Johor dengan kelebihan Singapura dalam teknologi, inovasi dan akses pasaran serantau.
Menurutnya, kerjasama menerusi JS-SEZ membuka peluang untuk membangunkan ekosistem agromakanan lebih bersepadu dengan menghubungkan pengeluar kepada teknologi, pelaburan, logistik dan pasaran.
Perbincangan meja bulat menghimpunkan pemimpin industri bagi meneroka penggunaan teknologi pintar, akses pembiayaan dan pengukuhan rantaian bekalan makanan rentas sempadan Johor-Singapura.
Menurut laporan Banci Pertanian 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Johor merekodkan pendapatan sektor pertanian berjumlah RM30.15 bilion pada 2023, tertinggi dalam kalangan negeri di Malaysia.
Sehubungan itu, usaha seterusnya adalah memanfaatkan kekuatan berkenaan untuk meningkatkan produktiviti, memperkukuh rantaian bekalan serta menghasilkan nilai tambah lebih tinggi menerusi inovasi dan pelaburan.
Perbincangan meja bulat itu turut mengenal pasti tiga bidang utama iaitu pengukuhan rantaian bekalan makanan rentas sempadan, penerapan pertanian pintar dan jitu serta penerokaan mekanisme pembiayaan dan sokongan dasar bagi memacu pembangunan sektor berkenaan.
Antara pendekatan yang diketengahkan ialah penggunaan kecerdasan buatan (AI), automasi, dron dan teknologi berasaskan data bagi meningkatkan kecekapan operasi pertanian.
Model Technology-as-a-Service (TaaS) turut dilihat sebagai pendekatan praktikal untuk membantu pekebun kecil menggunakan teknologi moden tanpa perlu menanggung kos modal yang tinggi.
Bagaimanapun, penerapan teknologi perlu disokong model perniagaan berdaya maju, data yang boleh dipercayai serta akses kepada pasaran bagi memastikan pelaburan memberikan pulangan yang mampan.
Peserta juga menekankan kepentingan memperkukuh kesiapsiagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta petani untuk mendapatkan pembiayaan, selain membangunkan kemudahan pemprosesan, rangkaian logistik dan kerjasama dengan pembeli yang mempunyai komitmen menyerap hasil pengeluaran.
Dalam pada itu, Rakan Kongsi PwC Malaysia, Thariq Adnan berkata, keterjaminan makanan bukan sekadar bergantung kepada jumlah makanan yang dihasilkan, sebaliknya turut melibatkan keupayaan mengurus pengangkutan, pembiayaan dan pengedaran secara konsisten.
Menurutnya, JS-SEZ menyediakan platform untuk menggabungkan keupayaan pengeluaran pertanian Johor dengan kekuatan Singapura dalam penyelidikan, inovasi, pembiayaan dan hubungan serantau.
“Peluang seterusnya adalah menterjemahkan kekuatan yang saling melengkapi ini kepada penyelesaian perniagaan praktikal, daripada pertanian lebih pintar dan rantaian bekalan cekap hinggalah model pembiayaan yang membantu inovasi berkembang pada skala lebih besar,” katanya.
Antara bidang yang akan diteroka dengan lebih lanjut termasuk kebolehlaksanaan pembangunan taman makanan (food park), model kerjasama awam-swasta (PPP), peluasan penggunaan teknologi dalam kalangan pekebun kecil serta penambahbaikan tadbir urus dan perkongsian data pertanian.
Cadangan penubuhan jawatankuasa kerja turut dibincangkan bagi meneliti risiko serta menyediakan pandangan kepada pembuat dasar dan pemain industri, termasuk menerusi penggunaan sistem pemantauan berasaskan AI.
Dapatan perbincangan itu akan dirumuskan sebagai syor bagi melengkapi Blueprint JS-SEZ mengenai Keterjaminan Makanan serta menyokong kerjasama antara agensi kerajaan, institusi kewangan, penyedia teknologi, institusi penyelidikan dan pemain industri.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan ketika Iskandar Malaysia menyambut ulang tahun ke-20 pada 2026, dengan sektor agromakanan dikenal pasti sebagai antara bidang berpotensi untuk memperkukuh daya saing serantau, menggalakkan inovasi dan mewujudkan peluang ekonomi bernilai tambah tinggi.




