mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jangan pandang sebelah mata kemampuan skuad muda negara.
Itu mesej jelas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan yang menyifatkan skuad Bawah 15 Tahun (B-15) negara membuktikan mereka bukan pasukan yang boleh dipandang mudah selepas mempamerkan aksi membanggakan pada Piala Dunia B-15.
Beliau berkata, pemain muda negara perlu sedar bahawa setiap kali turun beraksi di pentas antarabangsa, mereka bukan sekadar membawa nama sendiri, sebaliknya menggalas tanggungjawab mengharumkan nama Malaysia.
Katanya, perkara itu sudah ditegaskan kepada pemain sebelum mereka berlepas ke luar negara, dengan pesanan supaya memberikan sepenuh tumpuan dan berjuang bersungguh-sungguh demi negara.
“Bila saya jumpa mereka sebelum pergi, saya nasihatkan mereka bahawa agenda ke luar negara bukan untuk berjalan-jalan, tetapi membawa nama negara.
“Kamu kena tahu apabila bermain dan masuk padang, kamu membawa nama negara. Lupakan segala-galanya, fokus dan jaga nama baik negara. Bermainlah bersungguh-sungguh,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Ab Ghani berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan skuad kendalian P Maniam itu, malah sentiasa mengikuti perkembangan mereka menerusi hubungan harian bersama ketua jurulatih berkenaan.
Beliau sebelum ini turut memberikan suntikan semangat kepada pemain sebelum perlawanan menentang Hungary dan Mexico bagi memastikan mereka turun beraksi dengan keyakinan tinggi.
Menurutnya, keputusan seri 1-1 menentang Hungary serta aksi kompetitif ketika berdepan Mexico membuktikan pemain negara mempunyai keupayaan untuk mencabar lawan, meskipun berdepan pasukan yang mempunyai kelebihan dari segi fizikal dan ranking dunia.
“Mexico mempunyai pemain yang besar dan bagus, tetapi Malaysia juga tidak mengambil laluan mudah. Pemain kita bermain dengan baik, cuma nasib tidak menyebelahi kita dan kita menerima hakikat itu.
“Kita seri 1-1 dengan Hungary pun bagus jika dibandingkan dengan kedudukan ranking dunia Hungary dan Malaysia, begitu juga Mexico dengan Malaysia yang jauh berbeza,” katanya.
Lebih membanggakan, Malaysia muncul satu-satunya wakil ASEAN yang layak beraksi dalam Tier B pada fasa kedua kejohanan itu selepas menamatkan saingan Kumpulan H sebagai naib juara.
Malaysia mengumpul 10 mata hasil tiga kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan sebelum tewas tipis 1-0 kepada Mexico yang muncul juara kumpulan.
Kejayaan itu menyaksikan Malaysia bersaing dalam Tier B bagi menentukan kedudukan dari tempat ke-33 hingga ke-64, manakala Indonesia, Thailand dan Vietnam ditempatkan dalam Tier C.
Myanmar dan Filipina pula beraksi dalam Tier D, sementara Laos serta Singapura bersaing dalam Tier E.
Ab Ghani berkata, pemain negara perlu menjadikan pencapaian itu sebagai pembakar semangat untuk melangkah lebih jauh, apatah lagi cabaran dalam fasa seterusnya dijangka lebih getir apabila pasukan perlu berusaha memperbaiki kedudukan masing-masing.
Beliau yakin skuad muda negara mampu memberikan saingan sekiranya terus mengekalkan disiplin, kesungguhan dan semangat juang yang ditunjukkan sepanjang kejohanan, sekali gus membuktikan bola sepak Malaysia mempunyai masa depan yang wajar diberikan perhatian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




