Ras Adiba kesal pencipta kandungan masuk rumah Zalina Azman

Ras Adiba kesal pencipta kandungan masuk rumah Zalina Azman

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas personaliti televisyen, Datuk Ras Adiba Radzi menzahirkan kekesalan terhadap tindakan pencipta kandungan yang memasuki kediaman sahabat baiknya, Zalina Azman bagi menghasilkan kandungan berkaitan misteri kehilangan wanita itu.

Ras Adiba berkata, tindakan memasuki kediaman orang lain tanpa kebenaran tidak sepatutnya dilakukan sesuka hati, sebaliknya orang ramai perlu menghormati privasi pemilik rumah dan keluarga mereka.

Sahabat baik bekas personaliti TV3 itu, mengingatkan orang ramai supaya memikirkan perasaan keluarga, khususnya anak-anak wanita itu, sebelum melakukan sesuatu tindakan demi menghasilkan kandungan atau meraih perhatian.

“Kita mungkin mahu berkongsi sesuatu untuk mendapat perhatian, tetapi kita juga perlu mengambil kira perasaan anak-anaknya.

“Jika mempunyai maklumat berkaitan kehilangan Zalina, salurkan kepada polis dan bukannya bertindak sendiri sehingga menimbulkan spekulasi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Mengulas lanjut, Ras Adiba berkata, tindakan menghasilkan kandungan dengan memasuki kediaman berkenaan juga perlu mengambil kira kesannya terhadap keluarga Zalina yang masih menanti perkembangan mengenai nasib wanita itu.

Katanya, sebarang dakwaan atau andaian yang dibuat tanpa pengesahan boleh menimbulkan kekeliruan, justeru orang ramai perlu berhati-hati sebelum berkongsi sesuatu maklumat.

Dalam pada itu, Ras Adiba berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Zalina tampil menghubunginya atau pihak polis bagi membantu usaha mengesan sahabatnya itu.

Menurutnya, harapan utamanya ketika ini adalah supaya Zalina ditemukan dan dapat kembali kepada keluarganya, selain meminta orang ramai terus mendoakan keselamatan wanita berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi saya secara peribadi supaya kita dapat bersama-sama membantu mencari Zalina,” katanya.

Katanya, beliau turut bertanyakan perkembangan terkini kepada pihak polis setiap bulan bagi mengetahui sebarang maklumat baharu berhubung kehilangan Zalina.

Semalam, Harian Metro melaporkan polis akan memanggil seorang pencipta kandungan untuk mendapatkan penjelasan berhubung tindakannya memasuki kediaman Zalina di Shah Alam dan berkongsi kandungan mengenainya di media sosial.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Sarudin Samah dilaporkan berkata, pihaknya akan meneliti perkara itu terlebih dahulu bagi mengenal pasti tindakan yang boleh diambil.

Zalina dilaporkan gagal dihubungi sejak 24 November 2021 selepas anaknya, Mikhael Norman cuba menghubunginya untuk memaklumkan bapanya dimasukkan ke hospital.

Sehingga kini, kehilangan bekas personaliti televisyen itu masih menjadi misteri dan polis mengekalkan statusnya sebagai Orang Hilang (OH) kerana tiada bukti sahih menunjukkan wanita berkenaan meninggal dunia atau meninggalkan negara.

Sebelum ini, Ras Adiba tidak putus asa termasuk menjalankan misi pencarian sekitar Shah Alam, Selangor bersama suami dan teman rapatnya pada Julai 2022.

Mereka meronda sekitar kediaman Zalina di Seksyen 3, Bulatan Kayangan dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam bagi mencari petunjuk di mana sahabatnya menghilangkan diri.

Ras Adiba turut berhubung dengan polis, selain bilik mayat dan hospital bagi mendapatkan maklumat keberadaan Zalina.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top