Budak 3 tahun disingkir dari liga bola sepak kerana terlalu hebat

Budak 3 tahun disingkir dari liga bola sepak kerana terlalu hebat

SEORANG bapa meluahkan rasa berang apabila mendakwa anak lelakinya yang berusia tiga tahun disingkirkan daripada liga bola sepak kanak-kanak, selain pihak penganjur bertindak memanggil polis kerana kemahirannya disifatkan “terlalu handal”.

Bintang cilik dikenali sebagai Nevada, yang memiliki lebih 400,000 pengikut di TikTok, sebelum ini beraksi dalam kejohanan anjuran i9 Sports di Winter Park, Florida.

Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, bapa kanak-kanak berkenaan mendakwa ibu bapa pasukan lawan tidak berpuas hati dan membuat aduan kononnya Nevada enggan menghantar bola kepada rakan sepasukan.

Keadaan menjadi tegang apabila pegawai liga berkenaan menghubungi pihak berkuasa sehingga anggota polis terpaksa hadir ke padang permainan.

“Mereka panggil polis terhadap budak berusia tiga tahun hanya kerana dia terlalu hebat.

“Mereka panggil polis kerana dia menguasai bola terlalu lama dan tiada budak lain yang boleh merampas bola daripadanya,” katanya dalam rakaman video tersebut ketika anggota polis tiba di lokasi kejadian.

Tidak lama selepas insiden itu tular, keluarga Nevada memuat naik hantaran susulan yang mendakwa kanak-kanak berkenaan telah disingkirkan daripada kejohanan tersebut.

Mereka turut berkongsi tangkap layar e-mel daripada pihak i9 Sports yang menunjukkan bayaran balik yuran penyertaan liga itu telah diproses.

Sementara itu, Jabatan Polis Winter Park mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan bahawa pegawai liga membuat panggilan kecemasan 911 bagi melaporkan kekecohan di padang.

Menurut pihak berkuasa, anggota polis yang tiba di lokasi memaklumkan kepada kedua-dua pihak bahawa pertikaian tersebut merupakan isu sivil dan tiada tindakan lanjut diambil.

Pihak polis turut menjelaskan bahawa ibu bapa kanak-kanak itu memberikan kerjasama penuh dan meninggalkan lokasi tanpa sebarang insiden.

Susulan kecaman hebat orang ramai di media sosial, organisasi sukan belia i9 Sports tampil mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu tersebut.

“Kami menyedari kebimbangan yang dibangkitkan mengenai insiden dalam program tempatan i9 Sports dan memandang serius perkara ini.

“Layanan yang penuh hormat serta kebajikan setiap kanak-kanak dan keluarga amat penting bagi kami. Kami telah menghubungi keluarga terbabit dan memulakan siasatan dalaman, termasuk menemu bual pihak yang terlibat,” menurut kenyataan itu.

Insiden tersebut turut menarik perhatian pempengaruh kanak-kanak terkenal antarabangsa, Ms Rachel, yang meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan penganjur dan ibu bapa yang terlibat.

“Saya amat berang. Kepada komuniti sukan di luar sana, tolong berikan dia pengalaman dan sokongan yang sewajarnya. Kami berbesar hati untuk menjemputnya ke rancangan kami bagi berkongsi bakat hebatnya,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Scroll to Top